Brunei Raih Emas Pertama

Brunei Raih Emas Pertama

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Skuad Fours wanita Brunei Darussalam hari ini berjaya meraih pingat emas pertama dalam Kejohanan Boling Padang Asia Ke-11 dan Kejohanan Boling Padang Bawah 25 Tahun Kali Ke-9 di Kompleks Boling Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Skuad yang disertai Esmawandy Ibrahim, Hajah Amalia Haji Metali, Suhana Haji Daud dan Hajah Ajijah Muntol itu mempamerkan semangat juang yang tinggi meskipun pada awal perlawanan ketinggalan oleh skuad Fours wanita Malaysia dan akhirnya memenangi perlawanan akhir dengan mata 15-14.

Terlebih dahulu, Fours wanita negara mengalahkan Pasukan India dengan mata 16-13 sementara Fours Malaysia membenam Pasukan Hong Kong dengan kemenangan 17 -10 sebelum melangkah ke perlawanan akhir petang hari keempat di sini.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Dayangku Nurul Nabilah PHMSC pula berdepan dengan pemenang tujuh kali Kejohanan Asia dan dua kali Kejohanan Sukan Komanwel dari Malaysia.

Skuad Fours negara yang berjaya meraih emas pertama.
Skuad Fours negara yang berjaya meraih emas pertama.
Dayangku Nurul Nabilah bersama bapanya (kanan) dan pengurus pasukan.
Dayangku Nurul Nabilah bersama bapanya (kanan) dan pengurus pasukan.

Meskipun terpaksa akur dengan pingat perak, pemain perseorangan negara itu perlu diberikan pujian kerana memberikan saingan sengit kepada Siti Zalina Ahmad yang menang dengan kutipan mata 18-21.

Sebelum beraksi di peringkat akhir, Dayangku Nurul Nabilah mengalahkan pemain Hong Kong dengan mata 19-21 sementara Siti Zalina Ahmad pula menang ke atas saingannya dari Jepun dengan mata 21-7.

Satu lagi perlawanan akhir adalah dalam kejohanan bawah 25 tahun wanita yang dimenangi oleh Malaysia apabila mengalahkan pemain muda Hong Kong dengan mata 21-11.

Menurut pengurus pasukan negara dalam kejohanan ini, Naib Presiden Persatuan Boling Padang Kebangsaan Brunei Darussalam, Mohd Noor bin Haji Abdullah menegaskan perasaan bersyukurnya kerana pencapaian kali ini jauh lebih baik daripada yang sebelum ini di kejohanan yang sama pada tahun 2014.

Beliau turut menyatakan harapan supaya semua pemain akan terus mempamerkan persembahan dan semangat juang yang tinggi dan terus memperbaiki pencapaian masing-masing dalam kejohanan kali ini dan akan datang.

Ketika ditemui, wakil skuad Fours wanita negara, Hajah Amalia binti Haji Metali dalam temu bualnya menerangkan, “setelah ketinggalan 8-1 dengan lima lontaran di belakang Malaysia kami sedikit kecewa namun syukur kami tidak hilang tingkah dan terus berjuang tanpa beralah.”

Menurutnya lagi, ini bukanlah kali pertama mereka berjaya kembali dari belakang yang mana kali ini semangat rakan sepasukan telah dijadikan satu motivasi berharga untuk mencapai kejayaan.

“Banyak-banyak lontaran, dua yang terakhir dari Malaysia adalah yang paling mencabar dan mendebarkan kerana ia menentukan sama ada kita menang, atau masuk ke set penentuan atau kalah, namun kami mempunyai kelebihan dan tekanan yang ada pada saya dapat saya kawal sebaiknya,” ujarnya lagi.

Beliau turut memuji pencapaian pemain wanita perseorangan negara yang mana sangat tenang dalam menempuh tekanan dalam perlawanan akhir apatah lagi berdepan pemain yang jauh lebih berpengalaman.

Hajah Amalia mengucapkan syabas kepada rakan sepasukannya kerana semangat juang yang tinggi dan berkata,“biar kita menang bersama kalah bersama”.

Dayangku Nurul Nabilah PHMSC ketika ditanya mengenai permainannya di perlawanan akhir hari ini menegaskan motivasinya adalah berusaha untuk mengharumkan nama negara, diri sendiri dan persatuan.

“Ia menjadi bekalan untuk melangkah sehingga ke peringkat akhir hari ini, walaupun begitu saya juga sedikit kecewa kerana banyak lontaran yang saya lakukan sedikit pendek dan tidak menepati yang saya jangkakan.”

Menurutnya beliau tidak takut mahupun gementar akan tetapi mungkin sahaja nasib tidak menyebelahinya dan pemain Malaysia mempunyai kelebihan sendiri dan mengambil peluang terbaik untuk menang.

Beliau berharap akan mempertingkatkan permainan di dalam satu lagi disiplin yang bakal dihadapinya dan berasa permainannya kali ini ialah salah satu permainan terbaik yang disertainya sebelum mengucapkan terima kasih kepada keluarga terutama ibu bapanya kerana memberikan semangat dan dorongan berterusan dalam kejohanan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA