Brunei raih manfaat k’sama pendidikan

Brunei raih manfaat k’sama pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman semalam dan hari ini telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN (ASED) ke-9 yang disusuli dengan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN+3 (APT EMM) ke-3 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM) ke-3, di Selangor, Malaysia.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, pada ASED ke-9, para menteri telah menerima Pelan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan 2016-2020 yang akan menjadi panduan kepada kerjasama pendidikan dalam tempoh lima tahun mendatang dan akan menyatupadukan semua usaha kerjasama mengenai pendidikan dengan rakan-rakan dialog ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa serta entiti lain yang menyokong ASEAN.

Menteri-menteri juga menerima rangka kerja dan pelan tindakan dalam menyokong Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang telah digabungkan dalam Pelan Kerja ASEAN mengenai Pendidikan 2016-2020. Sidang menteri juga meluluskan Deklarasi ASEAN mengenai Pengukuhan Pendidikan bagi Kanak-kanak Tidak Bersekolah (OOSC) dan meluahkan penghargaan kepada Thailand kerana membiayai perumusan deklarasi tersebut.

Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri ASED ke-9.
Yang Berhormat Pehin ketika menghadiri ASED ke-9.
Gambar ramai menteri-menteri pendidikan ASEAN .
Gambar ramai menteri-menteri pendidikan ASEAN .

Selain itu, para menteri juga bersetuju untuk menyerahkan deklarasi tersebut ke Majlis Penyelarasan ASEAN bagi pertimbangan dan untuk penyerahan ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 pada September 2016 doi Republik Demokratik Rakyat Laos untuk pelaksanaannya.

Manakala itu, APT EMM ke-3 yang diadakan hari ini pula telah dipengerusikan oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Pendidikan China, Hao Ping.

Dalam kenyataan bersama Menteri Pendidikan Malaysia dalam mengalu-alukan menteri-menteri dan timbalan menteri dari China, Jepun dan Republik Korea, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi berkata, Brunei Darussalam mendapat manfaat daripada kerjasama di antara ASEAN dan negara-negara +3, dan Brunei tidak sabar bagi kerjasama akan datang daripada kerajaan ketiga-tiga buah negara tersebut dalam menyokong dan melaksanakan agenda pendidikan ASEAN.

Yang Berhormat Pehin juga melahirkan kepercayaan bahawa menerusi pelbagai rangka kerja bekerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN dan +3, mereka akan dapat mencapai pendidikan peringkat lebih tinggi bagi membolehkan ASEAN memenuhi cabaran-cabaran globalisasi.

ASED  ke-10, APT EMM ke4 dan EAS EMM ke-4 pada 2018 akan dipengerusikan oleh Myanmar.

ARTIKEL YANG SAMA