Brunei-Rusia meterai k’sama

Brunei-Rusia meterai k’sama

SOCHI, Rusia, 25 Mei – Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia telah menandatangani memorandum kerjasama yang dijangka akan menggiatkan lagi proses pembelajaran, pertukaran maklumat dan perkongsian pengalaman dalam bidang kebudayaan dan kesenian untuk manfaat kedua-dua buah negara.

Memorandum kerjasama tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan rakan sejawatannya dari Persekutuan Rusia, Vladimir Medinsky, di Swissotel, Resort Sochi Kamelia.

Yang Berhormat Pehin berada di Sochi, Rusia bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan ASEAN-Rusia pada 19 Mei lalu. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Persekutuan Rusia, Vladimir Medinsky.

Semasa berucap pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkata, pelaksanaan program-program pusingan kedua di bawah Persefahaman Kerjasama Kebudayaan di antara ASEAN dan Persekutuan Rusia diharap dapat memanfaatkan lebih ramai golongan belia yang merupakan golongan produktif masyarakat.

Menurut Yang Berhormat Pehin, aktiviti-aktiviti pada tahun 2013 dan 2014 misalnya ASEAN-Russia Symphony of Young Musicians dan Cultural Programme in Folk Music and Dance semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2013 dan program pertukaran Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia dalam visual arts pada 2014 di negara ini, memperlihatkan kepada belia maksud budaya, iaitu daya fikir, daya cipta dan kreativiti bangsa yang membawa ketamadunan tinggi dan kegemilangan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bertukar-tukar dokumen dengan rakan sejawatan dari Rusia, Vladimir Medinsky.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bertukar-tukar dokumen dengan rakan sejawatan dari Rusia, Vladimir Medinsky.

pg09_160526_b

“Oleh itu memelihara dan menjaga budaya, sejarah dan warisan bangsa mustahak dihayati oleh golongan belia,” ujar beliau.

Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan ASEAN-Rusia turut dihadiri menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas kebudayaan dari Kemboja, Laos, Singapura dan Thailand.

Mesyuarat tersebut antara lain membincangkan inisiatif ke arah mengukuhkan dan mempromosikan hubungan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kemanusiaan khususnya melalui usaha bersepadu yang berterusan.

Ini termasuk kerjasama dalam bidang pemeliharaan, pemuliharaan dan pembaikan tapak-tapak warisan budaya. Umumnya ASEAN dan Persekutuan Rusia berpuas hati terhadap kemajuan bidang-bidang yang telah diterokai selama ini.

Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat, para menteri menyatakan sokongan kuat terhadap perlaksanaan projek-projek kerjasama bidang kebudayaan dan kesenian ke arah pembelajaran budaya, cara hidup dan adat resam negara-negara ASEAN dan Persekutuan Rusia dengan menentukan bidang-bidang keutamaan menurut kemampuan dan dasar negara masing-masing.

Sempena mesyuarat tersebut, satu festival kebudayaan turut diadakan bertujuan bagi mempromosikan pelancongan kebudayaan dan kesenian serta kebudayaan ASEAN dengan mempamerkan seni budaya, tarian dan kraf tangan tradisi negara-negara ASEAN dan Persekutuan Rusia bagi menyemarakkan lagi Tahun Kebudayaan ASEAN-Rusia ke-20 sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-20.

ARTIKEL YANG SAMA