Brunei, Rusia terus kukuhkan ekonomi bersama

Brunei, Rusia terus kukuhkan ekonomi bersama

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusiaharus mencari alternatif lain dalam bidang ekonomi bagi mengurangkan impak yang terpaksa ditanggung akibat kejatuhan harga minyak dunia yang menjejaskan pendapatan kedua-dua negara pengeluar minyak itu.

Bersempena sambutan 25 tahun hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia, maka masanya adalah tepat bagi kedua-dua negara untuk bekerjasama mengukuhkan ekonomimelalui sektor perindustrian danswasta.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika berucap pada perasmian Forum Perniagaan Misi Rusia, yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi, Persekutuan Rusia, Alexey Vedev selaku ketua delegasi.

Katanya tujuan forum tersebut adalah untuk menerokai peluang-peluang pelaburan dan perniagaan, untuk mempromosi syarikat tempatan yang relevan serta mengenal pasti perkongsian bijak antara syarikat tempatan dengan rakan niaga dari Rusia.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew (kanan) mengiringi Alexey Vedev melawat Pusat Sokongan Perniagaan.
Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew (kanan) mengiringi Alexey Vedev melawat Pusat Sokongan Perniagaan.

“Rusia telah berkembang maju dalam kemajuan perindustrian dan kepakaran dan kemajuan teknologi yang dimiliki negara itu dapat dimanfaatkan oleh Negara Brunei Darussalam dan lawatan itu diharap dapat membuka peluang bagi sektor swasta tempatan untuk bekerjasama dengan rakan niaga dari Rusia,” kata beliau.

Menurutnya lagi, kerajaan negara ini telah melakukan beberapa reformasi dalam usahanya untuk mewujudkan persekitaran yang ‘mesra perniagaan’ seperti penubuhan Darussalam Enterprise (DARe) sebagai salah satu inisiatif untuk membantu syarikat tempatan menjalankan perniagaan.

Bagi menyokong mengembangkan sektor perindustrian maka penubuhan Pusat Bantuan Perniagaan dan Majlis Tenaga Kerja Kebangsaan adalah perlu bagi memastikan dasar-dasar berkaitan sumber tenaga kerja dan perindustrian di negara ini selaras dengan keperluan dan dasar ekonomi negara.

Forum Misi Perniagaan Rusia-Brunei itu diadakan dengan tujuan untuk meneroka peluang perniagaan dan pelaburan antara Rusia dan Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai sektor.

Delegasi perniagaan Rusia yang menyertai lawatan niaga selama dua hari itu terdiri daripada syarikat dalam sektor logistik, tenaga, perkhidmatan pengangkutan, teknologi, farmaseutikal, perniagaan dan pembinaan.

ARTIKEL YANG SAMA