Brunei Salebration kembali

Brunei Salebration kembali

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Brunei Salebration (BSb) kembali lagi, dengan tawaran potongan harga yang menarik oleh para peniaga yang ikut serta dan akan berlangsung selama 64 hari bermula 7 Disember 2015 hingga 8 Februari 2016.

Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri di sini, semua peserta BSb 2015 akan menawarkan potongan harga 20 peratus ke atas.

Sekurang-kurangnya 60 peratus daripada semua stok barangan yang dipamerkan di premis masing-masing akan ditawarkan potongan harga kecuali peserta gedung-gedung perniagaan mengikut kategori barangan.

Bagi stok barangan yang melebihi 60 peratus, potongan harga selebihnya boleh ditawarkan di antara 20 ke 10 peratus dan kedai-kedai dikehendaki memberikan promosi sampingan seperti belian-atas-belian (BAB), hadiah, boucar, kupon dan sebagainya yang bersesuaian dan berfaedah. Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 9 (1) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga (Harga Jualan Murah), 2012, setiap barangan jualan dikehendaki mempamerkan tanda harga yang jelas dan nyata.

Bagi BSb 2015, setiap barangan yang ditawarkan dikehendaki mempunyai dua tanda harga iaitu harga asal dan harga berdiskaun. Setiap peserta akan menerima notis penyertaan daripada JPKE yang mesti dipamerkan di kawasan perniagaan masing-masing supaya mudah dilihat oleh para pengunjung.

JPKE, dalam kenyataannya, menyatakan harapan agar orang ramai akan terus memberi sokongan kepada BSb 2015, pada masa yang sama, orang ramai juga diseru supaya berhati-hati dan bersikap bijak semasa berbelanja dengan membuat perbandingan harga barang-barang berkenaan.

BSb 2015 dihasratkan untuk menyumbang ke arah matlamat bagi meningkatkan kegiatan ekonomi negara menerusi harga jualan murah yang menarik di samping menggalakkan orang ramai, khususnya penduduk Negara Brunei Darussalam, untuk membeli-belah di negara ini. Tarikh terakhir bagi penerimaan permohonan Acara Harga Jualan Murah bagi syarikat perniagaan yang masih mempunyai kuota jualan adalah pada 7 Oktober 2015.

Di samping itu, syarikat perniagaan tidak dibenarkan untuk mengadakan mana-mana acara harga jualan murah 30 hari sebelum bermulanya acara BSb 2015.

Pendaftaran bagi BSb 2015 telah dibuka sekarang untuk semua perniagaan, dengan borang permohonan dan garis pandu penyertaan boleh dimuat turun menerusi laman sesawang JPKE (www.depd.gov.bn) atau datang terus ke Pejabat JPKE. Borang yang lengkap hendaklah dikembalikan tidak lewat sebelum 12 November 2015.

Untuk membuat sebarang aduan mengenai pengendalian harga jualan murah yang tidak betul atau meragukan oleh peserta BSb 2015, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi JPKE di talian hotline 2230223 semasa waktu bekerja atau memberikan maklum balas melalui Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE atau melalui e-mel aduanpengguna@jpke.gov.bn.

Bagi memudahkan penyiasatan dijalankan ke atas aduan tersebut, maklumat-maklumat seperti nama kedai, jenis barang, harga, tarikh dan resit belian hendaklah diberikan dan setiap borang aduan perlu ditandatangani (jika memerlukan ganti rugi atau pembaikan).

ARTIKEL YANG SAMA