Brunei sambut Aidiladha 12 Sept

Brunei sambut Aidiladha 12 Sept

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Pengiran Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hasan mengumumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin 12 September 2016.

Hasil penglihatan anak bulan Zulhijjah telah diumumkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) malam ini.

Rombongan yang ditugaskan untuk melihat anak bulan Zulhijjah terdiri daripada hakim-hakim mahkamah syariah, para pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Mufti Kerajaan dengan kerjasama para pegawai dari Jabatan Ukur, telah tidak sabit melihat anak bulan Zulhijjah petang ini.

Rombongan berada di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST di Lebuh Raya Tungku; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Lumut di Daerah Belait dan Bukit Ambok di Daerah Tutong.

Untuk itu, sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan bermula pada pukul 7:30 pagi manakala majlis ibadah korban bolehlah dilakukan bermula selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha sehinggalah hari tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijjah 1437H.

Sembahyang Maghrib dan sunat Hajat berjemaah pada Majlis Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah Anak Bulan Zulhijjah 1437 Hijrah. – Gambar oleh Azrol Azmi
Sembahyang Maghrib dan sunat Hajat berjemaah pada Majlis Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah Anak Bulan Zulhijjah 1437 Hijrah. – Gambar oleh Azrol Azmi

Sementara itu, KHEU lewat petang tadi mengadakan Majlis Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah Anak Bulan Zulhijjah 1437 Hijrah yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, KHEU.

Hadir di majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, jemputan-jemputan khas, pemangku setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Majlis diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pelajar Tahun 10, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Awang Abdul Hannan bin Amir, diikuti bacaan tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Selamat, seterusnya sembahyang fardu Maghrib dan sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid KHEU, Haji Abdul Malik bin Haji Jumaat.

ARTIKEL YANG SAMA