Brunei sambut Aidilfitri esok

Brunei sambut Aidilfitri esok

Oleh Pg Fairol RMF dan Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, 18 Julai setelah hasil merukyah anak bulan Syawal 1435H yang dilakukan di beberapa lokasi di negara ini, tidak berhasil melihat anak bulan Syawal tersebut.

Pengumuman mengenai penglihatan anak bulan Syawal itu diumumkan melalui Radio Televisyen Brunei malam ini.

Upacara melihat anak bulan Syawal 1436 hijrah dijalankan oleh hakim-hakim Syar’ie, dan pegawai-pegawai Jabatan Kehakiman Negara, pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan di beberapa tempat petang ini iaitu bangunan Ibu Pejabat DST, Jerudong, Bukit Ambok Tutong, Bukit Agok Tutong dan Bukit Lumut Belait.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi melihat teropong semasa upacara merukyah anak bulan Syawal di Menara DST petang kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi melihat teropong semasa upacara merukyah anak bulan Syawal di Menara DST petang kelmarin.

Turut berada di Bangunan Ibu pejabat DST ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Yang Amat Arif, Pehin Pemangku Ketua Hakim Syarie telah mensabitkan dan mengesahkan bahawa anak bulan Syawal 1436H itu tidak nampak dilihat.

Maka berdasarkan hukum syarak Ramadhan bagi tahun ini wajiblah digenapkan 30 hari.

Oleh yang demikian pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka dengan ini Yang Berhormat Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam mengumumkan bahawa awal bulan Syawal 1436H jatuh pada hari Sabtu 1 Syawal 1436H bersamaan 18 Julai 2015.

Sehubungan itu dimaklumkan bahawa sembahyang sunat Aidilfitri di kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula jam 7.30 pagi pada hari yang ditetapkan itu.

Sementara itu, sempena menunggu hasil merukyah awal bulan Syawal 2015, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan majlis keugamaan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, KHEU.

Hadir sama bagi menyerikan majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Ahmad Shuja’iee bin Mudim Haji Metassim, diikuti dengan persembahan tausyeh yang dibawakan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Pengajian Islam, KHEU.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani dan seterusnya mengimamkan sembahyang Maghrib berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA