Brunei sambut Aidilfitri hari ini

Brunei sambut Aidilfitri hari ini

Oleh Pg Fairol RMF dan Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok setelah hasil merukyah anak bulan Syawal 1437H yang dilakukan di beberapa lokasi di negara ini, berhasil melihat anak bulan Syawal tersebut.

Pengumuman mengenai penglihatan anak bulan Syawal itu diumumkan oleh Hakim Mahkamah tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Mohd Zaini bin Haji Talim melalui Radio Televisyen Brunei malam ini.

Upacara melihat anak bulan Syawal 1437H dijalankan oleh hakim-hakim Syar’ie, dan pegawai-pegawai Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah sabit melihat anak bulan Syawal.

Penglihatan anak bulan dilakukan di beberapa tempat petang ini iaitu Bangunan Ibu Pejabat DST, Jerudong; Bukit Ambok Tutong; Bukit Agok Tutong dan Bukit Lumut Belait.

Turut berada di Bangunan Ibu Pejabat DST semasa merukyah anak bulan Syawal petang tadi ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah

Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa sembahyang sunat Aidilfitri di kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan diadakan esok bermula jam 7:30 pagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin bersama Ketua Hakim Mahkamah Syar’ie menunggu keputusan hasil merukyah anak bulan Syawal 1437H.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin bersama Ketua Hakim Mahkamah Syar’ie menunggu keputusan hasil merukyah anak bulan Syawal 1437H.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah melihat teropong semasa upacara merukyah anak bulan Syawal di Menara DST petang kelmarin.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah melihat teropong semasa upacara merukyah anak bulan Syawal di Menara DST petang kelmarin.

Kedatangan 1 Syawal disambut dengan tembakan meriam. Sebanyak 12 das tembakan meriam dilepasksan di ibu negara, dikendalikan oleh 42 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diketuai oleh Pegawai Memerintah Cawangan Pengawal, Polis Tentera, ABDB, Mejar Mohd Edham bin Harlip.

Sementara itu, sementara menunggu hasil merukyah awal bulan Syawal 1437H, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan majlis keagamaan di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, kementerian berkenaan di sini.

Hadir sama bagi menyerikan majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Naib Johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-58, Awangku Mohd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ahmad Tarmiji bin Haji Daud yang seterusnya mengimamkan solat fardu Maghrib berjemaah.

Hasil merukyah Awal Bulan Syawal 1437 Hijrah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA