Brunei sambut ‘Hari Tindakan’ 10 Jan

Brunei sambut ‘Hari Tindakan’ 10 Jan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Negara Brunei Darussalam akan meraikan Hari Sukarelawan Antarabangsa (IVD) menerusi kempen yang dinamakan ‘Hari Tindakan’ pada 10 Januari 2016.

Diusahakan oleh Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), acara berkenaan bertujuan menyediakan platform untuk menghimpunkan rakyat Brunei dalam mempromosikan semangat kesukarelawanan menerusi aktiviti-aktiviti pembangunan komuniti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, Hari Tindakan menyeru penyertaan dari sektor-sektor swasta dan awam, NGO dan orang ramai untuk sama ada mendaftarkan aktiviti-aktiviti mereka, mendaftar untuk menyertai aktiviti atau mempromosikannya menerusi media sosial menggunakan kempen #DayofActionBN.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk Soup Kitchen; kempen kebersihan di tempat-tempat umum termasuk tanah perkuburan, taman-taman awam dan sungai; mengagihkan makanan serta banyak lagi.

Pelancaran akan diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan di mana aktiviti utama akan dirasmikan.

Pada masa yang sama, berbagai-bagai aktiviti akan dilakukan di beberapa lokasi berbeza di seluruh negara untuk meraikan Hari Tindakan.

Mana-mana pertubuhan/perniagaan/kumpulan orang ramai yang ingin menghoskan aktiviti mereka sendiri pada hari itu boleh mengisikan borang dalam talian di laman sesawang bit.do/DayofActionBN.

Sukarelawan juga perlu mengisi borang untuk ikut serta di mana mereka kemudian akan dipadakan dengan salah satu aktiviti.

Hari Sukarelawan Antarabangsa diraikan setiap 5 Disember yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sejak 1985.

Ia memberikan peluang bagi pertubuhan pertubuhan sukarelawan dan sukarelawan individu untuk membuat sumbangan pada peringkat setempat, kebangsaan dan antarabangsa.

Tarikh akhir untuk mendaftarkan aktiviti adalah pada 5 Januari depan dan tarikh akhir untuk mendaftar menjadi sukarelawan adalah pada 9 Januari berdasarkan yang awal didahulukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Tindakan, orang ramai bolehlah melayari bit.do/bit.do/DayofActionBN, manakala itu, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghantar e-mel ke alamat dayofactionbn@gmail.com atau menghubungi talian 8626588 (Khairunnisa).

ARTIKEL YANG SAMA