Brunei sepakat aspirasi sukan ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN,  11 Okt – Negara Brunei Darussalam menyepakati aspirasi ASEAN bahawa sukan merupakan satu bidang yang dapat memberi pelbagai sumbangan terutama kepada peningkatan tahap kesihatan, perpaduan dan integrasi serantau di samping pemupukan semangat patriotik, pembentukan masyarakat berdisiplin dan berdaya saing.

Ini dinyatakan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Myanmar, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Pahlawan Kolonel (B) Dato Paduka Haji Abdu’r Rahmani bin Dato Paduka Haji Basir yang mewakili Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Sukan ke-4, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan dan Sukan Myanmar, Dr. Myint Htwe itu memperakukan Pelan Kerja ASEAN mengenai Sukan 2016-2020 bagi kemajuan pesat sukan untuk semua dan sukan untuk prestasi tinggi di segenap lapisan masyarakat ASEAN sebagai landasan kepada pengukuhan integrasi ASEAN yang antara lain termuat dalam kenyataan bersama menteri-menteri.

Dalam membacakan ucapan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Dimuliakan Pehin Haji Abdu’r Rahmani memaklumkan pelan tindakan Sukan 2016-2020 itu perlu menjalani semakan berkala agar dinamik, bersesuaian dengan kaedah, pemikiran dan teknologi terkini selaras dengan perkembangan dan keperluan sukan di rantau ini mahupun di persada antarabangsa.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Abdu’r Rahmani pada sidang itu.

Seterusnya beliau menyampaikan bahawa bagi mengukuhkan lagi pencapaian rangka kerja berkenaan, penglibatan masyarakat secara menyeluruh adalah landasan utama membudayakan sukan.

Usaha untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dimulakan pada peringkat usia muda.

Pendekatan melalui aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi.

Sementara itu, dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN + Jepun pertama, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan keterlibatan Jepun dalam bekerjasama dengan ASEAN seiringan Pelan Kerja mengenai Sukan 2016-2020.