Brunei sertai...

Brunei sertai pelarasan minyak OPEC

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Negara Brunei Darussalam dan 10 lagi negara-negara pengeluar bukan OPEC mengambil bahagian dalam Deklarasi Kerjasama Ahli OPEC/Bukan Ahli OPEC yang berlangsung di Vienna, Austria pada 10 Disember 2016 lalu.

Pada Deklarasi Kerjasama Ahli OPEC/Bukan Ahli OPEC itu, Negara Brunei Darussalam bersetuju untuk membuat pelarasan sukarela bagi pengeluaran minyak mentah Negara bermula 1 Januari 2017 selama enam bulan, yang boleh dilanjutkan selama enam bulan lagi, bergantung kepada keadaan pasaran dan prospek semasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri hari ini, negara-negara ahli OPEC sudah pun komited bagi pelarasan pengeluaran sebanyak 1.2 juta tong sehari di bawah Perjanjian Vienna manakala negara-negara bukan ahli yang menyertainya juga komited bagi satu pelarasan pengeluaran gabungan sebanyak 0.558 juta tong sehari di bawah Deklarasi Kerjasama Ahli OPEC/Bukan Ahli OPEC.

Usaha bersepadu ini bertujuan menstabilkan dan merangsang satu pasaran minyak global yang mapan. Brunei Darussalam komited memastikan bahawa sasaran pengeluaran bagi 2017nya sejajar dan seimbang dengan sasaran negara-negara pengeluar lain bukan ahli OPEC di bawah deklarasi bersama ini.

ARTIKEL YANG SAMA