Brunei sertai perlawanan persahabatan tiga penjuru

Brunei sertai perlawanan persahabatan tiga penjuru

TAWAU, 24 Jan – Sabah akan menggunakan perlawanan persahabatan tiga penjuru di Tawau minggu depan bagi memantapkan keserasian pemain mereka bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengurus pasukan Sabah, Datuk Nizam Titingan, berkata kejohanan yang membabitkan Brunei dan FELDA United itu penting sebagai pemanas badan sebelum tirai Liga Perdana 2016 bermula.

“Perlawanan ini memberi peluang kepada skuad ini mencari keserasian antara pemain bagi memantapkan lagi pasukan.

“Kita akan cuba menguji barisan terkuat sambil melihat keserasian pemain import Igor Cerina (Croatia), Marco Tulio Lopes Silva (Brazil) dan Dedi Kusnandar (Indonesia),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sabah akan menentang Brunei di Stadium Kompleks Sukan Tawau pada 29 Januari dan berdepan FELDA United pada 31 Januari manakala Brunei akan bertemu Felda United pada 30 Januari.

Tiket berharga RM10 dan RM15 boleh didapati di Kompleks Sukan Tawau, SG Futsal dan Al Ikhsan Sports mulai 29 Januari. – Bernama