Brunei, Singapura tandatangani ‘Letter of Undertaking’

Brunei, Singapura tandatangani ‘Letter of Undertaking’

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama ke-26 antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam bidang penerangan dan penyiaran yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri semalam melabuhkan tirai dengan penandatanganan ‘Letter of Undertaking’ di antara kedua-dua negara.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku ketua rombongan Negara Brunei Darussalam, manakala bagi pihak Republik Singapura ialah Setiausaha Tetap Kedua, Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Gabriel Lim selaku ketua delegasi Singapura.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam, menjelaskan mesyuarat selama dua hari itu telah membincangkan pelbagai agenda yang berkaitan dengan bidang penerangan dan penyiaran di antara kedua-dua belah pihak.

Awang Mohd Riza dan Gabriel Lim bertukar-tukar dokumen yang ditandatangani.
Awang Mohd Riza dan Gabriel Lim bertukar-tukar dokumen yang ditandatangani.

Mesyuarat kali ke-26 ini adalah salah satu landasan untuk meningkatkan kesalinghubungan, rangkaian dan kerjasama, sekali gus mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, dan Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, pegawai-pegawai kanan dari JPM, Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan.

ARTIKEL YANG SAMA