Brunei sokong Program Tindakan OIC

Brunei sokong Program Tindakan OIC

Gambar oleh Infofoto

 

BANDARAYA KUWAIT, Kuwait, 27 Mei – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, hari ini, berangkat menghadiri Sesi Pembukaan Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke-42 di Bayan Palace, Bandaraya Kuwait.

Mesyuarat dirasmikan oleh His Highness Amir Sheikh Sabah Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kuwait, Tuan Yang Terutama Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

Dalam sabda semasa Sesi Tertutup Pertama, Duli Yang Teramat Mulia menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap Program Tindakan OIC bagi tempoh 2015 – 2025.

Duli Yang Teramat Mulia turut menekankan perkara penting dalam matlamat jangka panjang mesyuarat berkenaan dengan menyatakan bahawa “Brunei mengiktiraf cabaran-cabaran segera yang digambarkan dalam tema kita di sini, dan akan melakukan sedaya upaya untuk menyokong usaha-usaha OIC untuk mencapainya.

“Bagaimanapun, kami percaya bahawa, tugas paling efektif pertubuhan ini terletak pada program-program tindakan kita.”

pg03_150528_a

pg03_150528_c

pg03_150528_d

pg03_150528_b

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda bahawa, abad ke-20 adalah masa pembangunan negara dari segi antarabangsa dan kadangkala berbentuk kolonial.

Bagaimanapun, abad ini menuntut sejenis pembentukan negara yang baru, yang dilaksanakan mengikut keinginan orang awam dan orang awam sedang menuntutnya.

“Sebab itulah, saya sangat berpuas hati dengan kerja yang sedang dilaksanakan oleh Setiausaha Agung dan kakitangannya serta kumpulan-kumpulan pakar kita mengenai program sepuluh tahun yang baru untuk menjadikannya lebih praktikal dan inklusif,” sabda Duli Yang Teramat Mulia yang merujuk kepada Program Tindakan OIC bagi tempoh 2015–2025.

Duli Yang Teramat Mulia turut menyatakan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap program berkenaan dan “kami rasa ia adalah cara terbaik untuk memberikan harapan baru bagi keamanan, perlindungan dan keselamatan berkekalan kepada rakyat kita.”

Selepas sesi pembukaan itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat bersama menteri-menteri yang lain bagi menghadiri jamuan makan tengah hari yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah. Pada sebelah petang, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat menghadiri sesi khas mengenai “Strategi Efektif untuk Memerangi Pengganasan, Pelampau Ganas dan Islamophobia”.

Duli Yang Teramat Mulia turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Demokratik Rakyat Algeria, Tuan Yang Terutama Ramtane Lamamra.

ARTIKEL YANG SAMA