Brunei-S’pura cambah idea cari amalan terbaik

Brunei-S’pura cambah idea cari amalan terbaik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mempunyai hubungan erat yang mana kedua-dua buah negara menikmati hubungan rapat dan mesra dalam pelbagai bidang termasuk sekuriti dan penguatkuasaan.

Pada masa yang sama, platform bagi mesyuarat di antara menteri-menteri dan pegawai kanan di antara kedua-dua negara sudah ditubuhkan.

Oleh itu, Program Pertukaran Tahunan Latihan Bersama bagi Pegawai-pegawai Kanan di antara kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Republik Singapura akan memberikan peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama di peringkat pengurusan kanan di antara kedua-dua buah negara.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar ketika berucap pada perasmian program pertukaran tahunan berkenaan yang berlangsung di JPM, hari ini.

Beliau juga percaya dengan adanya pertukaran idea, amalan terbaik dan pengalaman operasi di antara peserta-peserta program itu, ia akan mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan persahabatan di antara Brunei dan Singapura.

Dato Paduka Haji Hamdan menyampaikan ucapan di majlis itu.
Dato Paduka Haji Hamdan menyampaikan ucapan di majlis itu.
Dato Paduka Haji Mohd Juanda menyampaikan kata alu-aluannya.
Dato Paduka Haji Mohd Juanda menyampaikan kata alu-aluannya.
T. Raja Kumar menyampaikan kata alu-aluannya.
T. Raja Kumar menyampaikan kata alu-aluannya.
Dato Paduka Haji Hamdan bergambar ramai dengan para peserta program pertukaran tahunan latihan bersama.
Dato Paduka Haji Hamdan bergambar ramai dengan para peserta program pertukaran tahunan latihan bersama.

Beliau turut melahirkan harapan agar matlamat-matlamat yang telah ditetapkan bagi semua kegiatan yang dirancang semasa program itu akan dapat dicapai.

Program itu disertai oleh lapan orang pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura dan 10 orang pegawai kanan daripada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di bawah JPM, Negara Brunei Darussalam di mana program itu diadakan dalam dua sesi bermula dari 15 hingga 20 November di Brunei dan pada 22 hingga 27 November di Singapura.

Ia merupakan salah satu usaha kerajaan kedua-dua buah negara dalam mengukuhkan lagi kerjasama di antara pegawai-pegawai kanan masing-masing mengenai isu-isu keselamatan dan penguatkuasaan.

Terdahulu, Setiausaha Tetap di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid dalam ucapan alu-aluannya berkata lawatan tahunan dapat berfungsi sebagai kaedah untuk meningkatkan lagi kerjasama di peringkat pengurusan kanan bagi JPM, Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura dan pada masa yang sama, mengukuhkan lagi kerjasama operasi di antara kedua belah pihak khususnya dalam hal-hal sekuriti dan penguatkuasaan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Singapura, T. Raja Kumar pula menyatakan bahawa hubungan dua hala di antara JPM dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Singapura mencatatkan mercu tanda yang penting dengan penandatanganan Surat Hasrat (Letter of Intent) di antara Brunei Darussalam dan Singapura pada September 2014 untuk menyelaraskan pertukaran dalam kalangan pegawai kanan kedua-dua buah negara dan pada masa yang sama, menyediakan pelantar bagi meningkatkan hubungan kerjasama dan pertukaran bagi para pegawai baru kedua-dua buah negara.

Beliau juga berkata, hubungan kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan agensi-agensi penguatkuasaan kedua-dua buah negara terus mengadakan pertemuan tahunan dan pertukaran maklumat dalam menangani isu-isu jenayah bersama.

Oleh itu, beliau percaya program pertukaran tahunan latihan bersama yang dikendalikan itu merupakan satu lagi mercu tanda penting dalam hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Menerusi program berkenaan, kesemua peserta akan berpeluang untuk berkongsi pengalaman operasi khususnya dalam usaha menangani isu berkaitan pengganasan dan jenayah rentas sempadan, bertukar maklumat berkaitan trend-trend jenayah termasuk pengalaman dalam menangani pengganasan, pengedaran dadah, penyeludupan manusia, jenayah siber, pembersihan wang haram (money laundering), ancaman lanun, dan isu-isu lain yang dipersetujui oleh kedua-dua buah negara.

Program ini juga akan meneroka peluang untuk mengadakan latihan-latihan bagi pegawai-pegawai dalam agensi keselamatan dan penguatkuasaan kedua buah negara.

Sepanjang program itu, para peserta akan mengadakan lawatan ke Pusat Al-Islah, Pasukan Polis Diraja Brunei, Biro Mencegah Rasuah dan tempat-tempat yang berkaitan dengan keselamatan dan penguatkuasaan.

Program itu juga menumpukan kepada meningkatkan kerja secara berpasukan melalui aktiviti-aktiviti seperti perlawanan boling dan aktiviti lasak melalui program Outward Bound Brunei Darussalam di Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA