Brunei Stingers bakal menyengat

Brunei Stingers bakal menyengat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Pasukan hoki kebangsaan bakal membawa nama Brunei Stingers dalam pusingan pertama Liga Hoki Dunia (HWL) yang bakal diadakan bermula 9 hingga 17 April di Singapura nanti.

Menurut Jurulatih Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam, Awang Shaiful Azli bin Abdul Rahman, liga ini dianjurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan kedudukan dalam pusingan pertama ini nanti akan menjadi kelayakan ke pusingan kedua pada awal 2017.

Liga ini akan melalui empat pusingan keseluruhannya dan dijangka akan memakan masa lebih dua tahun dengan menampilkan beberapa buah lokasi kejohanan antarabangsa seperti Singapura , Ghana, Republik Czech, Mexico dan Peru.

Awang Shaiful Azli turut menambah bahawa pertandingan ini unik kerana ia memberikan peluang kepada mana-mana pasukan untuk mendapat peluang terlibat dalam arena hoki antarabangsa dan untuk terus mara dari satu pusingan ke pusingan seterusnya.

“Ia juga membuka peluang kelayakan ke peringkat Olimpik atau piala dunia dan Liga Hoki Dunia 2016/17 ini juga akan menjadi platform penentuan kelayakan penyertaan kejohanan besar seperti ‘the Continental Champions’, ‘FIH world cup’ 2018 di England (wanita) dan India (lelaki)” tegasnya lagi.

Menurutnya, semua peserta HWL akan diberikan kedudukan mata di peringkat dunia FIH dan menjadi salah satu aspek penting bagi mendapatkan kelayakan penyertaan di dalam lebih banyak kejohanan hoki antarabangsa selain mara untuk bersaing mendapatkan trofi kejuaraan 2018 di Argentina bagi wanita dan di Belanda bagi lelaki.

“Penyertaan kita di dalam liga ini adalah penanda aras bagi mendapatkan kedudukan di temasya Sukan Asia Tenggara di Malaysia pada tahun hadapan setelah penyertaan terdahulu di Kejohanan Piala Asia kedua di Bangkok, Thailand pada Disember 2015 lalu,” tambahnya lagi.

Dalam kejohanan itu Brunei Stingers bersaing dengan enam buah negara termasuk Kemboja, Hong Kong, Indonesia, Korea Utara dan Singapura dan mendapat tempat ke empat apabila tewas di tangan Hong Kong di Stadium Queen Sikirit Commemorative dengan jaringan 4-0.

Melihat kepada kemajuan ini, Pasukan Hoki Brunei Darussalam akan mengadakan jerayawara bermula Februari ini antaranya 10 Februari di Kuala Belait, 9 Mac di Tutong dan 16 Mac 2016 di Temburong dengan objektif mempromosikan sukan hoki kepada peminat sukan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA