Brunei tandatangani konvensyen multilateral mengenai cukai

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Brunei Darussalam telah menunjukkan komitmennya untuk membanteras pengelakan dan cukai di luar negeri dengan menandatangani Konvensyen Multilateral mengenai Bantuan Tadbir Bersama dalam Perkara Cukai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di sini, hari ini, penandatanganan konvensyen berkenaan telah diadakan semalam di Ibu Pejabat Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (DECD), Perancis.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Perancis, Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof di hadapan Timbalan Setiausaha Agung DECD, Masamichi Kono.

Menurut kenyataan itu lagi, penandatanganan berkenaan juga untuk melaksanakan pertukaran maklumat akaun kewangan secara automatik yang telah dipersetujui di peringkat antarabangsa dan ditetapkan oleh DECD.

Datin Paduka Malai Hajah Halimah semasa menandatangani Konvensyen Multilateral mengenai Bantuan Tadbir Bersama dalam Perkara Cukai di Perancis, kelmarin.

Sebanyak 112 buah negara telah menyertai konvensyen berkenaan termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.

Tujuan konvensyen tersebut adalah untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras pengelakan cukai rentas sempadan yang mana konvensyen itu merangkumi segala bentuk bantuan pentadbiran dalam perkara cukai seperti pertukaran maklumat mengenai permintaan, pertukaran spontan, pertukaran automatik, pemeriksaan cukai di luar negeri dan bantuan dalam kutipan cukai.