Brunei teraniaya laporan tak berasas

Brunei teraniaya laporan tak berasas

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Brunei telah mengalami ketidakadilan dan tercemar kerana laporan berita tidak berasas mendakwa kononnya negara ini melarang sambutan perayaan Krismas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (bawah) berkata, hak terhadap kebebasan akhbar hendaklah digunakan dengan cara yang betul, manakala laporan-laporan berita hendaklah berasaskan kepada fakta bagi mengelak tersebarnya berita-berita palsu.

“Apabila melaporkan sesuatu berita, kita perlu lebih bertanggungjawab dan berteraskan fakta yang tepat. Ia hendaklah mengenai apa yang berlaku dan bukan mengenai apa yang kita fikir akan berlaku. Jika tidak, ia akan menjadi berita palsu,” katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau, sskeruak.blogspot.com bertajuk ‘Jangan kelirukan berita dengan pendapat’ hari ini.

Beliau memetik laporan berita yang telah menjadi viral kononnya Brunei telah mengenakan larangan sepenuhnya sambutan perayaan Krismas di negara itu.

“Berita tersebut telah terbukti tidak benar tetapi kerosakan telah pun berlaku kerana ‘berita’ ini sudah menjadi viral di seluruh dunia. Inilah yang berlaku apabila kita tidak bertanggungjawab dan melaporkan berita-berita tanpa terlebih dahulu melakukan penyelidikan.

SB02_151215_PENJAWAT AWAM

“Tatkala kita berselindung di sebalik kebebasan media dan hak untuk melaporkan berita, kita akhirnya menafikan hak orang ramai terhadap kebenaran dan melakukan ketidakadilan terhadap Brunei. Ini bukanlah kebebasan media yang sebenarnya,” kata Salleh.

Dalam satu lagi posting bertajuk ‘Jangan tengok ‘headline’ saja, tapi baca isinya,’ Salleh berkata, dalam era masa kini, setiap detik banyak maklumat mengalir masuk. Bermacam cerita dari pelbagai sudut penulisan atau ‘angle’ dibuat.

“Saya membaca surat khabar dan melayari portal berita. Rutin harian saya sejak dari dulu. Dan kini semestinya lagi di kementerian yang bertanggungjawab penuh ke atas media.

“Antara media massa dan portal berita, ada perbezaan dan kelainan pendekatan. Bagi menarik perhatian pembaca, saya perhatikan ada kecenderungan mencari tajuk ‘news headline’ yang sensasi, kontroversi, spekulasi dan provokasi,” katanya.

Menurut Salleh, tajuk berita sepatutnya berpaksi kepada intipati sesebuah berita. Itu prinsip etika kewartawanan. Ia mesti diangkat daripada ‘intro’ atau perenggan pertama sesebuah berita itu.

“Apa yang didapati sekarang, ada ‘news headline’ yang mengelirukan, tidak sepenuhnya menggambarkan  kandungan berita yang ditulis, malah kadangkala lari dari isinya. Laporan atau berita disensasikan. Penulisan dibuat di luar konteks.”

‘News headline’ biasanya ditentukan oleh editor dan bukan wartawan/penulis yang tertera ‘by-line’ pada laporan itu. Maka, pemilihan sesuatu ‘news headline’ itu bergantung kepada justifikasi dan integriti seseorang editor.

“Setiap editor mempunyai asas, cara dan pendekatan masing-masing. Lazimnya editor memilih sesuatu tajuk yang dapat ‘menjual’ surat khabar.

“Oleh itu, editor akhbar atau pengendali portal berita perlu lebih berhati-hati kerana mereka bertanggungjawab penuh ke atas apa yang diterbitkan.”

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pembaca agar lebih berhati-hati, jangan sekadar melihat kepada tajuk atau ‘news headline’ saja kerana isi cerita kadangkala tidak sama dengan tajuknya. Pembaca juga harus melakukan ‘self censorship’.