Brunei terima pengiktirafan AFC

Brunei terima pengiktirafan AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Negara Brunei Darussalam mendapat pengiktirafan tinggi daripada AFC dalam pembangunan bola sepak akar umbinya apabila diumumkan selaku penerima Anugerah Pengiktirafan Presiden AFC untuk Bolasepak Akar Umbi 2015 dalam Kategori ‘Aspiring’.

“Ia merupakan pengiktirafan besar buat sebuah negara kecil. Dari 47 buah negara anggota AFC dan Brunei Darussalam menerimanya. Tahniah kerana mendapat penghargaan dan pengiktirafan atas usaha dan kerja keras serta cemerlang dalam melaksanakan program-program bola sepak akar umbi,” ujar Instruktor FIFA dari Malaysia, Dato Yap Nyim Keong.

Datuk Yap mendedahkan mengenai anugerah berkenaan semasa Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi FIFA 2016 di NFABD House hari ini.

Selain Brunei Darussalam, dua buah negara lagi turut menerima anugerah serupa tetapi dalam kategori berlainan iaitu Kategori ‘Inspiring’ untuk Jepun dan Kategori ‘Development’ untuk Vietnam.

Menurut Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, anugerah di bawah Anugerah Tahunan AFC 2015 berkenaan akan secara rasminya diterima oleh NFABD pada Mac nanti di Kuala Lumpur, Malaysia.

Datuk Yap Nyim Keong ketika berucap pada majlis tersebut.
Datuk Yap Nyim Keong ketika berucap pada majlis tersebut.

Ketika ditemu bual media, Datuk Yap berpendapat NFABD telah bermula dengan baik dalam usahanya membangun bola sepak di Negara Brunei Darussalam sebermula daripada peringkat akar umbi lagi dan kerana itulah Brunei Darussalam layak mendapat pengiktirafan menerima anugerah berkenaan.

Datuk Yap menegaskan bahawa tidak akan terhasil sebuah pasukan kebangsaan yang kuat tanpa adanya program bola sepak akar umbi yang kuat.

“Bola sepak perlu membangun secara berfasa dan perlu mempunyai asas yang kukuh di peringkat akar umbi kerana dari situlah kita akan dapat mengenal pasti tempat terbaik buat mereka belajar,” ujarnya lanjut.

Tetapi pembangunan itu bukan sekadar pembangunan dari sudut fizikal tetapi juga penerapan gaya hidup yang sihat sedari awal zaman kanak-kanak lagi untuk masa depan yang lebih cerah buat mereka, tegasnya.

Bola sepak ialah sebuah kehidupan seperti sekolah di mana kanak-kanak belajar segalanya termasuk disiplin dan kehidupan, tetapi untuk mencapai hasrat berkenaan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk NFABD, kerajaan, pegawai daerah, penghulu mukim, ketua kampung, orang ramai dan terutamanya pihak sekolah.

Datuk Yap berkata, “Untuk pembangunan bola sepak akar umbi yang lebih berkesan, kita sangat memerlukan penglibatan pihak sekolah kerana di sekolahlah kita akan menemui sumber manusia iaitu kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun dan sumber kemudahan iaitu padang bola sepak dan kemudahan lain yang diperlukan.”

ARTIKEL YANG SAMA