Brunei terus komited kepada ASCC

Brunei terus komited kepada ASCC

LUANG PRABANG, Republik Demokratik Rakyat Laos, 5 Jun – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, semalam, telah menghadiri Mesyuarat ke-15 Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang berlangsung di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos.

Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Pehin telah menekankan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam perjalanan ASCC, yang menurut beliau, adalah semata-mata untuk kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada komuniti ASEAN.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, di bawah tunggak ASCC, banyak bidang yang membabitkan kehidupan seharian orang ramai antaranya kesihatan, belia, pembangunan masyarakat, kebudayaan dan kesenian, persekitaran pekerjaan membawa kepada bidang sukan malahan termasuk juga menangani bencana.

Mesyuarat bertema ‘Turning Vision into Reality for a Dynamic ASEAN Community’ itu telah di-rasmikan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thonhloun Sisoulith, dan dipengerusikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Bonsengkham Vongdara.

TYT Thonhloun Sisoulith dalam ucapan perasmiannya, telah mengajak pihak-pihak yang berkepentingan mengorak langkah teratur untuk kemajuan pesat Komuniti ASEAN khususnya ASCC.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Mesyuarat ke-15 Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang berlangsung di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Mesyuarat ke-15 Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) yang berlangsung di Luang Prabang, Republik Demokratik Rakyat Laos.

Tuan Yang Terutama menarik perhatian delegasi mesyuarat dan semua pihak umumnya bahawa elemen keterangkuman (inclusivity) program dan aktiviti sektor-sektor yang berkenaan kepada kumpulan sasaran tidak boleh diambil ringan.

Ini kerana segala inisiatif yang diusahakan oleh ASEAN adalah untuk semua masyarakat ASEAN sesuai dengan hasrat membangun bersama masyarakat supaya masyarakat tidak ketinggalan daripada menikmati hasil kemajuan atau pembangunan ASEAN.

Dalam kenyataan bersama, para menteri antara lain telah mengambil perhatian bahawa 2016 adalah tahun yang signifikan di mana bermulanya perlaksanaan Wawasan ASEAN 2025 dan rangka tindakan ketiga-tiga tunggak Komuniti ASEAN iaitu Sekuriti Politik, Ekonomu dan Sosiobudaya berikutan tertubuhnya secara rasmi Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Sehubungan itu, menteri-menteri menyuarakan sokongan penuh dan komitmen yang tinggi kepada bidang-bidang keutamaan ASCC pada tahun 2016 dan berikutnya.

Menteri-menteri seterusnya berharap, deklarasi-deklarasi penting yang telah diperakukan untuk diluluskan oleh ketua-ketua negara dan kerajaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 akan mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada orang ramai untuk menjamin kehidupan mereka yang lebih makmur.

Menteri-menteri juga menekankan bahawa perlaksanaan dan perkembangan ASCC Blueprint adalah amat penting dipantau bagi memastikan perlaksanaan yang memberangsangkan dalam rangka kerja badan-badan sektoral 2016-2025.

Semasa Mesyuarat ASCC tersebut, menteri-menteri telah membuat perakuan kepada ‘Vientiane Declaration on Transition from Informal Employment to Formal Employment towards Decent Work Promotion in ASEAN’; ‘ASEAN Declaration on One ASEAN One Response: ASEAN Responding to Disasters as One in the Region and Outside the Region’; dan ‘ASEAN Declaration on Strengthening Education for Out-of-School Children and Youth’.

Ketiga-tiga Deklarasi diharap akan memperbaiki keadaan persekitaran kerja, tindak balas kepada bencana yang bersepadu dan pemedulian kepada perkhidmatan pendidikan kanak-kanak dan belia yang umumnya tidak dapat bersekolah atau tidak dapat meneruskan persekolahan.

Dalam pada itu, menteri-menteri juga mengambil maklum proses penyelesaian Vientiane Declaration on Reinforcing Cultural Heritage in ASEAN dan ASEAN Joint Statement on Biodiversity for the 13trh Meeting of the Conference of the Parties to the Convention on Biological Diversity.

Republik Demokratik Rakyat Laos merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2016 yang bertemakan ‘Turning Vision into Reality for a Dynamic ASEAN Community’ di mana penekanan keutamaan adalah dalam bidang-bidang yang berhubung kait dengan people-oriented dan people-centred melalui lapan bidang keutamaan.

Menteri-menteri ASCC yang turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah dari Kemboja, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand di samping Setiausaha Agung ASEAN.

Mesyuarat ke-15 ASCC didahului oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai-Pegawai Kanan ASCC (SOCA) ke-20 yang mengemukakan perkembangan badan-badan sektoral di bawah tunggak ASCC untuk ketetapan dan makluman Mesyuarat Majlis ASCC.

 

ARTIKEL YANG SAMA