Brunei terus waspada

Brunei terus waspada

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Ancaman keganasan di Negara Brunei Darussalam pada masa ini adalah rendah namun kerajaan terus berwaspada terhadap sebarang tindakan pengganasan agar ia tidak berlaku di sini.

Memandangkan negara ini adalah sebuah negara Islam, sebahagian daripada anggota masyarakat mungkin terdedah kepada radikalisme disebabkan situasi kemanusiaan yang menjejaskan umat Islam di kawasan berkonflik Timur Tengah yang boleh menjurus kepada perasaan simpati dan tanggungjawab mendalam bagi mengurangkan penderitaan mereka.

Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar menekankan perkara itu ketika mengongsikannya pada Mesyuarat Khas Menteri-menteri ASEAN Mengenai Peningkatan Fahaman Radikal dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) di Kuala Lumpur hari ini, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merupakan susulan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-10 dan mesyuarat berkaitan selama empat hari.

Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Pehin mengongsikan pengalaman Brunei menangani radikalisme dan ekstremisme dengan kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani dan mencegah radikalisme melalui penglibatan masyarakat, program pendekatan kemasyarakatan dan kempen-kempen.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (lima dari kanan) bergambar ramai dengan menteri-menteri dan perwakilan Asia Tenggara pada Mesyuarat SAMMRRVE.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (lima dari kanan) bergambar ramai dengan menteri-menteri dan perwakilan Asia Tenggara pada Mesyuarat SAMMRRVE.

Yang Berhormat Pehin turut menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan antara ahli negara-negara dan rakan dialog ASEAN dalam perkongsian maklumat, pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik dan yang paling penting, perkongsian perisikan dalam menangani ancaman yang muncul daripada kegiatan keganasan berkaitan radikalisme dan ekstremisme.

Mesyuarat menekankan tiga isu utama antaranya; cabaran, pemulihan dan pengintegrasian serta kerjasama serantau dan usaha menangani radikalisme dan ekstremisme.

Ia meluluskan tujuh resolusi termasuklah menegaskan agar program pemulihan tahanan diberi penekanan utama dan dijadikan sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh dalam menangani ancaman tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, resolusi juga bersetuju supaya kajian dan analisis dijalankan termasuk mencari punca isu kewujudan persekitaran yang kondusif untuk penyebaran fahaman radikal di Asia Tenggara, selain membangunkan program-program untuk menangani keganasan dan mengukuhkan kerjasama antara masyarakat yang terdedah kepada fahaman radikal dan polis.

Menteri-menteri dan perwakilan turut memperakui bahawa kerjasama antara rakan-rakan dialog ASEAN dan pertubuhan antarabangsa berkaitan perlu dipertingkatkan menerusi perkongsian pengalaman, pandangan dan idea.

Selain itu, mesyuarat itu turut menyeru negara-negara anggota ASEAN untuk bersuara dalam menentang dan menolak ekstremisme dan menyokong pendekatan kesederhanaan selaras dengan Deklarasi Langkawi Mengenai Gerakan Kesederhanaan Global.

Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat itu termasuklah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

ARTIKEL YANG SAMA