Brunei, Thailand perkukuh kerjasama

Brunei, Thailand perkukuh kerjasama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Negara Brunei Darussalam dan Thailand terus memperkukuhkan persahabatan dan kerjasama dalam bidang penerangan dan penyiaran menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama ke-14 di bawah Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Thailand mengenai kerjasama dalam bidang penerangan dan penyiaran.

Hubungan dan kerjasama itu diperkukuhkan lagi dengan penandatanganan ‘Letter of Transmittal’ di antara kedua-dua buah negara semasa Majlis Penutup Rasmi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama Ke-14 yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, manakala kerajaan Thailand diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Awam, Thailand, Dr Charoon Chaisorn selaku Ketua Delegasi Thailand yang juga mewakili Setiausaha Tetap, Pejabat Perdana Menteri Thailand.

Turut hadir pada majlis penutup rasmi ini ialah Pengarah Radio Televisyen Brunei, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu, Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Radio Televisyen Brunei dan Jabatan Penerangan.

Haji Mohd Rozan dalam ucapannya berharap, mesyuarat selama dua hari itu berjaya mengukuhkan persahabatan dan kerjasama kalangan para delegasi dalam bidang penerangan dan penyiaran di antara kedua-dua buah negara.

Haji Mohd Rozan dan Dr Charoon Chaisorn semasa Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama di Jabatan Perdana Menteri.
Haji Mohd Rozan dan Dr Charoon Chaisorn semasa Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama di Jabatan Perdana Menteri.

Bidang penyiaran dan penerangan telah dibincangkan dan program-program telah dipersetujui untuk dilaksanakan pada 2016, antaranya dalam bidang penyiaran adalah Thailand akan menjadi hos kepada rancangan Alai Pa Plern yang bertajuk Concert of Dreams dengan membawa tema ‘Power of Dreams’, yang akan diadakan pada Ogos 2016 di Auditorium Jabatan Perhubungan Awam, Bangkok, Thailand.

Haji Mohd Rozan berkata, beliau difahamkan bahawa Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengemukakan konsep terbaru bagi rancangan muzikal varieti bersama kepada rakan-rakan Thailand serta berharap agar konsep baru itu boleh menarik minat dan melibatkan lebih ramai penonton sasaran terutama golongan belia.

Menerusi konsep terbaru itu, ia dapat menyampaikan mesej-mesej utama seperti persahabatan, harmoni, kerjasama dan persefahaman di antara rakyat kedua buah negara.

Dari segi produksi televisyen bersama, Haji Mohd Rozan mengambil maklum mengenai dokumentari ulang tahun kerjasama Brunei-Thailand ke-15 dalam bidang penyiaran dan penerangan yang akan disiarkan pada Ogos 2016 nanti. Beliau berharap dokumentari itu nanti bukan sahaja mencerminkan usaha yang dilaksanakan oleh kedua-dua buah negara tetapi menggalakkan kreativiti kakitangan dan mengukuhkan lagi kerjasama rangkaian penyiaran kedua buah negara.

Sementara itu, Dr Charoon Chaisorn dalam ucapannya menyatakan perasaan puas hati atas perkembangan yang dilaksanakan dalam pelbagai bidang di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibincangkan dalam mesyuarat itu. Namun begitu, beliau percaya masih banyak lagi kerja yang perlu dilaksanakan bersama ke arah mencapai Komuniti ASEAN pada hujung 2015.

Di majlis penutup itu, Haji Mohd Rozan dan Dr Charoon Chaisorn telah bertukar-tukar cenderahati yang diikuti dengan pertukaran cenderahati oleh pengerusi-pengerusi bersama mesyuarat berkenaan. Mesyuarat selama dua hari itu, telah membincangkan pelbagai agenda yang berhubung kait dengan bidang penerangan dan penyiaran di antara kedua-dua belah pihak.

Mesyuarat berkenaan merupakan salah satu landasan untuk lebih meningkatkan kesalinghubungan dan kerjasama, sekali gus mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kerajaan kedua-dua buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA