Brunei-Thailand tingkat k’sama kesihatan

Brunei-Thailand tingkat k’sama kesihatan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Thailand telah memperkukuhkan lagi kerjasama terutamanya bidang kesihatan dengan termeterainya satu memorandum persefahaman (MoU), hari ini.

Majlis penandatanganan MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan BNH Medical Centre Limited itu telah diadakan di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Hadir bagi menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin dan juga Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand, Biravij Suwanpradhes.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar), Kementerian Kesihatan, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Ketua Perkhidmatan (Perancangan), Dr Sylviana binti Haji Morris. Sementara itu, BNH Medical Centre Limited diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif BNH Medical Centre Limited, Dr Chairat Panthuraamphorn dan Pengarah Hospital BNH Medical Centre Limited, Dr Piyapatr Nabhawacharakul.

Dengan termeterainya MoU berkenaan, ia akan dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama khususnya dalam bidang perubatan selaras dengan amalan-amalan terbaik bukan sahaja yang terdapat di Thailand malah di seluruh dunia.

Dr Hazri bersama Ketua Pegawai Eksekutif BNH Medical Centre Limited ketika bertukar dokumen selepas menandatangani MoU kelmarin.
Dr Hazri bersama Ketua Pegawai Eksekutif BNH Medical Centre Limited ketika bertukar dokumen selepas menandatangani MoU kelmarin.

Selain itu, ia juga dapat memberikan pilihan alternatif bagi destinasi penghantaran pesakit di mana rawatannya tidak terdapat di negara ini dan MoU ini juga dapat memastikan pemberian kesihatan yang kos efektif dan nilai untuk wang serta mencapai hasil klinikal yang terbaik.

Antara bidang-bidang kerjasama yang telah dikenal pasti dan dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dengan BNH Medical Centre Limited melalui MoU ini adalah, pertukaran doktor, jururawat dan profesional perubatan yang lain, projek perkembangan penyelidikan perubatan dan kesihatan bersama, program seminar dan latihan kursus bersama, program dalam bidang pendidikan bersama dan lain-lain bidang yang bersesuian.

Penandatanganan MoU ini adalah sebagai inisiatif dalam mendokong salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan lagi kepelbagaian dan kualiti perkhidmatan perubatan bagi rakyat dan penduduk di negara ini, di samping pembangunan kapasiti untuk warga profesional kesihatan di antara kedua-dua buah negara.

BNH Medical Centre Limited merupakan hospital swasta antarabangsa pertama di Thailand yang ditubuhkan oleh masyarakat ekspatriat dalam tahun 1898.

Sehingga hari ini, BNH Medical Centre Limited merupakan hospital antarabangsa bertaraf kelas pertama yang menyediakan keperluan penjagaan kesihatan kepada rakyat Thailand, wakil diplomatik asing dan keluarga mereka serta warga asing dari lebih kurang 150 negara dan kira-kira 40 peratus daripada pesakit hospital tersebut adalah pesakit antarabangsa.

Rombongan BNH Medical Centre Limited sedang berada di negara ini untuk lawatan kerja selama empat hari bagi membincangkan dengan lebih lanjut bidang-bidang kerjasama yang telah dikenal pasti di samping membuat lawatan ke beberapa buah institusi perubatan dan pendidikan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA