Brunei tuan rumah Festival B-14 AFC

Brunei tuan rumah Festival B-14 AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Negara Brunei Darussalam buat pertama kali diberi kepercayaan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah Festival Bolasepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC 2015 yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 Ogos ini.

EXCO NFABD, Muhammad Radzuan bin Haji Madali selaku pengerusi festival dalam sidang media di NFABD House petang tadi mendedahkan AFC turut memberi mandat kepada NFABD untuk mengendalikan festival berkenaan pada 2016 nanti.

Festival ini akan disertai Brunei Darussalam, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor Leste dan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan Brunei, Malaysia, Timor Leste, Filipina dan Myanmar dalam Kumpulan A, manakala Laos, Vietnam, Singapura dan Thailand dalam Kumpulan B.

Muhammad Radzuan menjelaskan festival itu nanti menumpukan kepada pembangunan bola sepak di kalangan pemain remaja – bukan bersifat pertandingan iaitu tanpa pungutan mata dan kedudukan pasukan dengan kesemua 18 pemain setiap pasukan akan menerima pingat dan sijil penyertaan selepas festival tamat.

Namun beliau segera menegaskan, perlawanan yang akan berlangsung nanti bukan bermakna kurang persaingan kerana semua pasukan yang terlibat bertaraf kebangsaan dan sering menyertai kejohanan peringkat umur bertaraf tinggi.

Muhammad Radzuan semasa sidang media petang tadi ketika mengumumkan Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah kepada Festival Bolasepak Serantau B-14 AFC bermula 18 Ogos ini.
Muhammad Radzuan semasa sidang media petang tadi ketika mengumumkan Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah kepada Festival Bolasepak Serantau B-14 AFC bermula 18 Ogos ini.

Festival itu nanti akan menjadi kayu pengukur kepada taraf pasukan masing-masing di samping turut menjadi medan jurulatih untuk menilai prestasi setiap pemain mereka, tambahnya.

Bagi Brunei, festival ini akan memberikan pengalaman antarabangsa kepada para pemain yang akan menjadi petunjuk di peringkat serantau dan antarabangsa sebagai persiapan penting menuju Kejohanan Serantau B-16 AFC nanti.

Muhammad Radzuan menjelaskan setiap perlawanan akan dijalankan di atas padang seluas 90 meter x 60 meter, selama 30 minit setiap separuh masa dengan 15 minit masa rehat.

Ada beberapa undang-undang khas diperuntukkan iaitu kesemua 18 pemain mesti diturunkan dan penjaga gol mesti diganti sebelum bermulanya babak kedua.

Perlawanan akan diadakan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Kompleks Sukan Berakas bermula pada jam 4 petang dan 8:15 malam.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyaksikan pemain kebangsaan B-14 itu nanti bagi memberikan sokongan padu kepada mereka.

Hadiah cabutan bertuah disediakan oleh pihak penaja, di mana pemenangnya akan diundi pada masa rehat, dedahnya lagi bagi memberikan galakan kepada orang ramai untuk hadir menyaksikan perlawanan pasukan B-14 negara.