Brunei tuan rumah Festival Padi ASEAN

Brunei tuan rumah Festival Padi ASEAN

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Festival Padi ASEAN (ASEAN Rice Festival) yang membawa tema ‘Celebrating Rice As A Cultural Heritage’ membuka tirainya hari ini dengan majlis perasmian yang berlangsung di Hotel StarLodge, Jerudong.

Hadir bagi menyempurnakan perasmian festival berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal dan setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Pengarah Muzium Brunei selaku Pengerusi Majlis, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman, dalam ucapan alu-aluannya berkata festival ini merupakan projek di bawah Jawatankuasa ASEAN bagi Kebudayaan dan Maklumat, yang telah dicadangkan oleh Negara Brunei Darussalam pada tahun 2013.

Tahun ini, Negara Brunei Darussalam menerusi Jabatan Muzium-muzium menjadi tuan rumah bagi festival selama dua hari itu.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir bagi menyempurnakan perasmian festival berkenaan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir bagi menyempurnakan perasmian festival berkenaan.
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengiran Dr. Karim.
Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengiran Dr. Karim.

Menurut beliau lagi, festival ini menyemarakkan lagi festival menuai padi yang sangat dikenali di antara ahli-ahli ASEAN.

Sepanjang festival ini, pelbagai aktiviti disediakan seperti persembahan muzik-muzik tradisi dan tarian yang menunjukkan bagaimana negara-negara ASEAN meraikan hasil tanaman padi, pembentangan kertas-kertas kerja dan pameran daripada setiap negara ASEAN.

Dalam festival itu, Negara Brunei Darussalam membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Rice Festivals of Brunei Darussalam’ oleh Pegawai Etnologi di Jabatan Muzium-muzium, Pengiran Norazah binti Pengiran Haji Muhammad dan persembahan kebudayaan oleh Etnik Dusun dengan keraian ‘Tamarok Parai’.

Persembahan muzik dan tarian yang mempamerkan bagaimana mereka meraikan hasil daripada tanaman padi.
Persembahan muzik dan tarian yang mempamerkan bagaimana mereka meraikan hasil daripada tanaman padi.

Kemudian diikuti dengan pembentangan kertas kerja dan persembahan kebudayaan dari negara-negara ASEAN yang lain termasuk Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Vietnam.

Festival ini diadakan untuk menyokong dan melaksanakan pelan strategi Komuniti Sosiobudaya ASEAN yang berkaitan dengan warisan budaya negara-negara ASEAN untuk memastikan budaya-budaya di rantau ini dikongsikan bagi tujuan kesinambungan budaya agar tidak pupus.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada negara anggota ASEAN untuk sama-sama mempelajari serta berkongsi pengetahuan budaya-budaya yang disambut di negara-negara ASEAN sambil memberikan penghargaan dan meningkatkan kesedaran terhadap Festival Padi ASEAN sebagai warisan budaya.

ARTIKEL YANG SAMA