Brunei Veteran antara pasukan sertai Piala IFC

Brunei Veteran antara pasukan sertai Piala IFC

PETALING JAYA, 16 Ogos (Bernama) – Brunei Veteran antara 16 pasukan yang akan mengambil bahagian pada kejohanan bola sepak veteran bagi merebut Piala International Football Club (IFC) 2015 di Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, 29 Ogos ini

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Kiranjit Singh berkata Sabah dipilih sebagai tuan rumah kejohanan tahunan itu untuk mempromosi pelancongan sukan di negeri di bawah bayu itu. Pertandingan pasukan sembilan sebelah ini khusus untuk pemain berusia lebih 40 tahun.

“Kejohanan ini adalah antara usaha kami untuk memberi peluang kepada pemain berpengalaman atau bersara untuk memperagakan kemahiran dan sentuhan masing-masing,” katanya kepada Bernama selepas memperkenalkan piala kejohanan itu, di sini hari ini.

Kiranjit, yang juga naib presiden IFC, berkata pertandingan sehari itu dibahagikan kepada empat kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke kategori merebut piala manakala dua pasukan terbawah dalam setiap kumpulan mara ke kategori Plate.

Juara kategori piala akan menerima hadiah wang tunai AS$750, naib juara (AS$500) dan pasukan di tempat ketiga menerima AS$250.

Dalam kategori Plate, juara akan membawa pulang AS$300 manakala naib juara akan menerima AS$150.

Kejohanan tahun ini akan disertai oleh juara bertahan KL Wednesday, Kelab Kilat, My World FC, IFC, SSU Kelab Aman, Sri Muda Veterans, Seremban IRC, Royal Sungai Ujong Club, KL Rehda, Sabah Mix, Brickwork Boys Singapore, Brunei Veterans 1,2 dan 3, Dynasty Macau serta Bangkok Airways dari Thailand.

Untuk rekod, kejohanan IFC dianjurkan buat pertama kali pada 2009 di Kuala Lumpur dan kemudian diadakan tiga kali di luar Malaysia iaitu di Hangchou, China (2011); Pattaya, Thailand (2012) dan tahun lepas di Kemboja.

ARTIKEL YANG SAMA