Brussels batal rai Tahun Baru

Brussels batal rai Tahun Baru

ANKARA, 31 Dis (AFP) – Brussels semalam membatalkan sambutan menjelang Tahun Baru kerana khuatir akan berlakunya keganasan ketika Eropah bersedia untuk menyaksikan tahun baru 2016 berada di bawah keselamatan ketat, sementara di Turki, polis telah menahan dua suspek Islamic State (IS) berhubung rancangan menyerang Ankara.

Pihak berkuasa Belgium berkata persembahan bunga api dan sambutan untuk menyambut Tahun Baru yang menarik 100,000 orang pada tahun lepas tidak akan diteruskan selepas mendedahkan rancangan para jihadis untuk menyerang ibu negara itu ketika percutian.

Keputusan itu dibuat selepas dua orang ditahan kerana disyaki bersedia melakukan serangan ke atas ‘tapak-tapak utama’ di Brussels ketika sambutan itu, dan selepas seorang lagi lelaki disiasat mengenai hubung kait serangan Paris bulan lalu.

“Malangnya kami dipaksa untuk membatalkan persembahan bunga api dan semua yang dirancang bagi malam esok (hari ini),” datuk bandar Yvan Mayeur memberitahu badan penyiaran Belgium, RTBF.

“Adalah lebih baik untuk tidak menanggung risiko.”

Kelihatan Grand Place, Brussels kosong pada 31 Disember. Pihak berkuasa di bandar Brussels kelmarin telah membatalkan pertunjukan bunga api sempena meraikan sambutan Tahun Baru. – AFP
Kelihatan Grand Place, Brussels kosong pada 31 Disember. Pihak berkuasa di bandar Brussels kelmarin telah membatalkan pertunjukan bunga api sempena meraikan sambutan Tahun Baru. – AFP

Di Paris, tempat 130 orang terbunuh oleh kumpulan pengganas pada 13 November lalu, persembahan bunga api setiap tahun di Champs-Elysees dibatalkan dan 11,000 polis, tentera dan anggota bomba akan meronda ibu negara Perancis.

Red Square, Moscow, secara tradisinya tempat orang ramai berhimpun bagi menyambut Tahun Baru, akan ditutup pada 31 Disember sementara Vienna juga meningkatkan keselamatan menjelang sambutan itu.

Sementara itu, di Turki, para pegawai berkata dua suspek IS, dilaporkan kedua-duanya warga Turk, merancang untuk melakukan serangan nekad di tengah-tengah ibu negara, Ankara, yang dijangka akan penuh dengan mereka yang bertemasya pada malam 31 Disember.

Sementara itu, enam orang telah ditahan hari ini untuk disoal siasat berhubung plot serangan Tahun Baru di Brussels, yang membawa kepada pembatalan pertunjukan bunga api dan festival lain.

Sejumlah lapan orang kini telah ditahan dalam kes itu, termasuk dua lelaki yang didakwa dengan kesalahan berkaitan pengganasan berikutan penangkapan mereka awal minggu ini, menurut pejabat pendakwa raya persekutuan.

Enam suspek baru juga ditahan berikutan serbuan tujuh anggota polis dalam dan sekitar bandar Belgium yang turut merampas peralatan komputer, telefon bimbit dan ‘material airsoft’, tambahnya. Airsoft adalah sejenis senapang angin.

ARTIKEL YANG SAMA