BruWILD bantu sebar mesej pemuliharaan alam semula jadi

BruWILD bantu sebar mesej pemuliharaan alam semula jadi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Generasi muda harus diberikan pendedahan mengenai keindahan dan keunikan flora serta fauna alam semula jadi negara kerana mereka selaku pewaris masa depan, akan memainkan peranan penting dalam usaha untuk memulihara dan mengekalkan khazanah penting bukan sahaja bagi negara tetapi juga untuk dunia.

Usaha untuk memberikan pendedahan dan pendidikan kepada generasi muda berkenaan tidak hanya harus terletak di tangan pihak kerajaan sahaja tetapi pertubuhan bukan kerajaan juga mampu menghulurkan sumbangan pendidikan kepada generasi pelapis berkenaan.

“Itulah salah satu matlamat penubuhan pertubuhan kami, BruWILD (Biodiversity and Natural History Society), untuk membantu menyebarkan mesej pemuliharaan alam semula jadi, ekosistem dan biodiversiti negara kepada golongan pelajar dan generasi muda.”

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden BruWILD, Liaw Lin Ji dalam temu bual bersama Media Permata mengenai usaha penyebaran mesej pemuliharaan alam semula jadi, baru-baru ini.

Liaw Lin Ji berkata usaha untuk memulihara flora dan fauna negara harus bermula dengan pendidikan kepada generasi muda kerana mereka merupakan bakal pewaris yang menerajui hala tuju negara di ma-sa akan datang.
Liaw Lin Ji berkata usaha untuk memulihara flora dan fauna negara harus bermula dengan pendidikan kepada generasi muda kerana mereka merupakan bakal pewaris yang menerajui hala tuju negara di ma-sa akan datang.

Menurut Lin Ji, pertubuhan sukarelawan yang ditubuhkan pada 2014 itu, mengandungi ahli-ahli yang terdiri daripada sukarelawan bekas graduan Universiti Brunei Darussalam dalam pelbagai jurusan biologi di mana mereka mempunyai satu misi yang sama iaitu untuk menyebarkan maklumat dan mesej mengenai pemuliharaan alam semula jadi negara.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan BruWILD, Lin Ji berkata bahawa ahli-ahli pertubuhan itu terdiri daripada bekas graduan UBD yang mempunyai kemahiran masing-masing dalam pelbagai jurusan biologi di mana mereka meluangkan masa untuk mengongsi minat mereka mengenai bidang biologi dan pemuliharaan flora dan fauna negara kepada orang ramai khususnya pelajar-pelajar sekolah.

Beliau berkata bahawa usaha pemuliharaan harus bermula daripada usaha yang muda dan salah satu usaha itu adalah untuk menyebarkan mesej pemuliharaan kepada pelajar-pelajar sekolah supaya mereka bukan sahaja peka mengenai khazanah alam negara tetapi bila dewasa nanti akan meneruskan usaha untuk memulihara khazanah itu supaya ia kekal bagi generasi yang akan datang.

Beliau juga berkata bahawa pertubuhan itu mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak UBD dan juga Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama untuk menyebarkan mesej pemuliharaan alam sekitar kepada pelajar-pelajar sekolah melalui pelbagai program pendekatan ke sekolah termasuk ceramah khas dan jerayawara.

Di samping itu, usaha pemuliharaan BruWILD mendapat dorongan yang menggalakkan lagi apabila, baru-baru ini, poster yang dihasilkan bersama oleh Institute for Biodiversity & Environmental Research (IBER), UBD mengenai kehidupan liar iaitu katak dan ular di Negara Brunei Darussalam telah diterbitkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Selain daripada itu, ahli-ahli BruWILD juga turut serta dalam kegiatan pendidikan yang dikendalikan oleh Pusat Kajian Kuala Belalong (KBFSC) di mana mereka menghulurkan bantuan bagi program pendidikan berkenaan dan pada masa yang sama memberikan pendedahan mengenai usaha serta matlamat BruWILD kepada para pelajar yang menyertai program pendidikan berkenaan.

Lin Ji turut menyatakan bahawa di samping pendidikan pemuliharaan flora dan fauna, BruWILD turut menerima laporan dan panggilan mengenai kehidupan liar yang memerlukan bantuan daripada orang ramai.

Beliau berkata bahawa pihaknya akan menghubungi Bahagian Kehidupan Liar untuk membantu dalam memastikan bahawa kehidupan liar yang dilaporkan mendapat bantuan yang sesuai dan yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA