BSB, Bandar Raya Kebudayaan ASEAN

BSB, Bandar Raya Kebudayaan ASEAN

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Brunei Darussalam, hari ini, mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila Bandar Seri Begawan diisytiharkan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN dalam majlis penuh warna-warni di Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Pelancarannya telah dibuat dalam Majlis Persembahan Gala Festival Kesenian ASEAN bersempena Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-7 dan dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN serta rakan-rakan dialog dari China, Jepun dan Republik Korea yang bertanggungjawab bagi kebudayaan dan kesenian.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, para pegawai kanan kerajaan dan delegasi dari negara anggota ASEAN.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa berucap pada majlis tersebut berkata, pemilihan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN adalah bersesuaian dengan Negara Brunei Darussalam menjawat jawatan pengerusi AMCA dan bandar yang menghoskan mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun (2016 hingga 2017) menjadi Bandar raya Kebudayaan ASEAN, Bandar Seri Begawan akan menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti kebudayaan, dan Pesta Kesenian ASEAN berkenaan menandakan permulaan bagi acara-acara lain yang akan diadakan.

Yang Berhormat Pehin memukul gong sebagai mengisytiharkan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN.
Yang Berhormat Pehin memukul gong sebagai mengisytiharkan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapannya.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menyampaikan ucapannya.

Yang Berhormat Pehin, sebelum itu juga telah menceritakan evolusi budaya dan kesenian yang dilalui oleh Bandar Seri Begawan.

Menurut beliau, pada masa lalu, Sungai Brunei melambangkan kepentingan politik, ekonomi dan sosiobudaya negara.

“Bandar Seri Begawan atau nama lamanya Bandar Brunei sinonim dengan Kampong Ayer yang telah wujud lebih 600 tahun.”

Kini, tambah Yang Berhormat Pehin, Bandar Seri Begawan telah meluaskan kawasan perbandarannya kepada 100.36 kilometer persegi dan dikenali sebagai Bandar dalam Taman.

Persembahan kebudayaan daripada negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog, China, Jepun dan Republik Korea.
Persembahan kebudayaan daripada negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog, China, Jepun dan Republik Korea.

pg08_160825_c

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN, Vongthep Arthakaivalvatee dalam ucapannya memaklumkan bahawa projek Bandar raya Kebudayaan ASEAN dan Festival Kesenian ASEAN adalah keputusan yang diambil oleh Mesyuarat AMCA yang lalu.

Majlis penuh warna-warni itu telah diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dari kesemua negara ASEAN dan rakan-rakan dialog, China, Jepun dan Republik Korea.

Inisiatif Bandar raya kebudayaan ASEAN bermatlamat untuk mengukuhkan identiti dan meningkatkan profil setiap negara anggota dan ASEAN secara keseluruhannya di rantau ini dan antarabangsa dengan meraikan seni dan budaya, serta mempromosikan pertumbuhan industri kreatif serantau.

Pelbagai aktiviti akan diadakan dalam tempoh dua tahun ini untuk menunjukkan dan mempromosikan kesenian dan kebudayaan di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA