BSB rasa gega...

BSB rasa gegaran gempa di Filipina

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Beberapa buah bangunan di ibu negara telah dikosongkan berikutan dengan gegaran yang dirasai disebabkan gempa bumi bermagnitud 7.2 dikesan berpusat di Laut Sulawesi, selatan Filipina, kira-kira 466 kilometer (km) di timur laut Semporna, petang ini.

Para penghuni bangunan-bangunan di pusat bandar dan Berakas bergegas keluar dan berkumpul di kawasan perkumpulan yang dikhaskan selepas arahan mengosongkan bangunan diterima. Namun begitu, tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan berlaku semasa gegaran sekejap berkenaan.

Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan telah mengesahkan mengenai berlakunya gempa bumi di Laut Sulawesi dengan kekuatan 7.2 pada skala Richter pada pukul 2:14 petang.

“Berikutan kejadian gempa bumi itu, gegaran telah dirasakan di beberapa buah bangunan di kawasan sekitar Bandar Seri Begawan dan Berakas.

Semua penghuni bangunan-bangunan berkenaan telah pun keluar meninggalkan bangunan dan berkumpul di kawasan perkumpulan (assembly point) masing-masing,” kata NDMC.

Orang ramai berkumpul di luar bangunan di ibu negara selepas diarahkan mengosongkan bangunan susulan kesan gegaran gempa bumi di Filipina yang turut dirasai di BSB.
Orang ramai berkumpul di luar bangunan di ibu negara selepas diarahkan mengosongkan bangunan susulan kesan gegaran gempa bumi di Filipina yang turut dirasai di BSB.

Menurut kenyataan itu lagi, sejurus selepas menerima panggilan, Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama ambulans telah dikerahkan ke bangunan-bangunan berkenaan.

Setelah pemeriksaan struktur dan tahap keselamatan dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, bangunan-bangunan berkenaan telah disahkan berada dalam keadaan selamat dan penghuni-penghuni bangunan telah dibenarkan masuk semula.

Salah seorang pekerja di bangunan yang diarahkan untuk dikosongkan memberitahu bahawa mereka menerima arahan untuk mengosongkan bangunan kira-kira pukul 2:45 petang dan kerja-kerja mengosongkan bangunan berjalan dengan lancar di mana mereka berkumpul di kawasan perkumpulan kecemasan yang dikhaskan iaitu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.

Maklumat yang diterima dari Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam mengesahkan bahawa tidak ada ancaman tsunami bagi Negara Brunei Darussalam berikutan gempa bumi berkenaan.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran yang sama turut dirasai di Negeri Sabah.

Sehubungan itu, NDMC menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah waspada dan tidak merasa cemas dalam menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekiranya memerlukan bantuan kecemasan, mereka boleh menghubungi terus Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian hotline 995, polis di talian 993 dan ambulans di talian 991.

Di Limbang, agensi berita Bernama melaporkan, lebih 100 pekerja daripada jabatan dan agensi kerajaan negeri bergegas keluar dari pejabat masing-masing di Bangunan Limbang Plaza, di Limbang pukul 2:30 petang hari ini selepas mereka merasai ada gegaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata, berdasarkan maklumat semasa kejadian pekerja merasa terhoyong-hayang dan selepas itu atas faktor keselamatan kesemua diarah keluar dan gegaran kuat amat dirasai pada tingkat tujuh dan lapan.

Di Labuan, berpuluh-puluh orang berlari meninggalkan bangunan tinggi apabila gegaran dirasai di pulau bebas cukai itu berikutan gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang berlaku di Laut Sulawesi hari ini.

Antara bangunan yang dikosongkan ialah Financial Park Complex milik Bank Negara yang menempatkan lebih 80 agensi dan jabatan kerajaan, kedai makan serta firma kewangan luar pesisir.

Pengerusi Perbadanan Labuan (LC), yang juga Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli adalah antara staf LC yang meningggalkan pejabat mereka di Menara Perbadanan Labuan setinggi 11 tingkat itu.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan tiba pada 2:32 petang untuk membuat pemeriksaan terhadap bangunan itu dan meminta semua penyewa dan penghuninya berkumpul di tempat selamat kira-kira 50 meter dari kompleks berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA