BSC DARe terus kompetitif, bersaing di pasaran serantau

BSC DARe terus kompetitif, bersaing di pasaran serantau

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan berpuas hati dengan kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan untuk memperbaiki lagi landskap perniagaan serta membolehkan aktiviti perniagaan kecil dan sederhana dijalankan dengan lebih lancar dan cekap.

Kemudahan untuk menjalankan perniagaan merupakan elemen penting bagi kelangsungan sesebuah syarikat tempatan untuk terus kompetitif dan bersaing di pasaran serantau.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Awang Soon Loo dalam temu bual selepas menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota yang berkenan mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sokongan Perniagaan (BSC) DARe yang terletak di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, Berakas.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar, selaku Pengerusi DARe dan Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Awang Soon Loo.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

pg01_160415_b

Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran Credit Bureau Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran Credit Bureau Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran BAG Networks.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran BAG Networks.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran Bank Baiduri.
Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan petak pameran Bank Baiduri.
Timbalan Sultan berkenan bergambar ramai semasa berangkat mengadakan lawatan kerja ke BSC DARe, Anggerek Desa kelmarin.
Timbalan Sultan berkenan bergambar ramai semasa berangkat mengadakan lawatan kerja ke BSC DARe, Anggerek Desa kelmarin.

Ketika bercakap kepada pemberita, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew berkata, pada lawatan itu Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan melihat pelbagai teknologi baru diaplikasikan dalam merumuskan perancangan perniagaan.

“Kami telah membuat demonstrasi (kehadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota) beberapa platform baru dan teknologi perisian yang kini mampu digunakan oleh peniaga kecil dan sederhana (PKS) dalam urusan perniagaan seharian mereka,” kata beliau.

Mengimbas kembali era yang mana penggunaan teknologi memerlukan kos tinggi dan di luar jangkauan PKS, sebahagian platform perisian yang digunakan pada hari ini adalah ciptaan anak tempatan dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh PKS dengan kos yang lebih murah.

Beliau seterusnya berharap semua agensi terlibat di BSC dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mempermudah lagi urusan untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Sejurus keberangkatan tiba, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani plak sebagai menandakan rasminya operasi BSC dan disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zilkifli bin Murad.

Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mendengar taklimat ringkas mengenai fungsi BSC dan melawat bahagian agensi itu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada PKS.

Sebelum berangkat meninggalkan BSC, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menghadiri santap dan sesi bergambar ramai bersama warga BSC dan semua yang hadir.

Berpejabat di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, BSC ditubuhkan oleh DARe untuk berfungsi sebagai pusat tindakan bagi menyediakan kemudahan dan menangani cabaran yang dihadapi peniaga tempatan.

Pusat itu berperanan sebagai pusat satu hentian bagi peniaga yang ingin mendapatkan kemudahan perkhidmatan dan proses tertentu berkaitan perniagaan.

Selain itu, BSC juga menyediakan khidmat penting antaranya pendaftaran perniagaan dan nama perniagaan, memperbaharui lesen perniagaan, permohonan bagi permit dan lesen, permohonan tanah tapak industri dan pendaftaran tanda niaga dan paten.

Penubuhan BSC telah membolehkan peniaga berkongsi isu dan masalah yang dihadapi serta memberikan maklum balas dan cadangan terhadap perkara berkaitan perniagaan.

Pameran beberapa program dan perkhidmatan untuk PKS juga diadakan sewaktu lawatan itu, antaranya Akademi Perniagaan Industri (IBA) oleh DARe yang merupakan program modular yang direka bentuk sesuai dengan keperluan latihan dan pembangunan individu bagi membantu mereka memperbaiki tahap kefahaman, kecekapan, keupayaan dan daya saing untuk pertumbuhan perniagaan masing-masing.

Sementara itu, BAG Networks Sdn Bhd mempamerkan Cendana, iaitu perisian perniagaan berasaskan maya yang memberikan kawalan bersepadu kepada pelbagai fungsi perniagaan.

ThreeG Media pula mempamerkan MBP Marketplace, platform e-dagang yang membolehkan individu dan peniaga mewujudkan perniagaan atas talian dengan memuat naik produk jualan mereka.

Bank Baiduri merupakan salah satu daripada tiga buah institusi perbankan yang mengambil bahagian dengan mempamerkan MerchantSuite, iaitu khidmat pembayaran yang termampu bagi PKS tempatan, sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pula memperkenalkan BIBD SME 360, kemudahan perbankan komprehensif yang sesuai dengan kehendak perniagaan sektor PKS.

ARTIKEL YANG SAMA