BSJV, 6 pelajar meterai kontrak biasiswa

BSJV, 6 pelajar meterai kontrak biasiswa

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) meletakkan nilai yang tinggi kepada individu yang berkualiti tinggi dan salah satu kaedah untuk memastikan ia dapat dicapai adalah menerusi proses pemilihan dengan penilaian biasiswa yang kompetitif.

Melalui penilaian itu, pihak BSJV dapat menilai kaliber yang dimiliki oleh para pelajar dan daripada penilaian itu, dapat memilih individu yang memenuhi kriteria pelajar dan mengenal pasti yang terbaik daripada mereka.

Oleh bagi pemohon biasiswa BSJV yang akan datang, mereka dinasihati untuk bekerja keras di sekolah, menunjukkan keupayaan dan bakat yang mereka ada serta pada masa yang sama menunjukkan bahawa mereka mempunyai kelebihan, kompetensi dan pemikiran yang tepat untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat BSJV.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Sumber Manusia Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Haji Kamaludin Bungsu dalam kata alu-aluannya di Majlis Penandatanganan Kontrak Biasiswa BSJV 2016 yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Hotel Empire and Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak berkenaan ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Dato Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin menyampaikan anugerah Kelas Pertama kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin menyampaikan anugerah Kelas Pertama kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin dan pegawai atasan BSP bergambar ramai dengan penerima biasiswa.
Yang Berhormat Pehin dan pegawai atasan BSP bergambar ramai dengan penerima biasiswa.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan BSP dan Pengerusi Negara Shell bagi Negara Brunei Darussalam, Andrew Faulkner, ibu bapa para penerima biasiswa dan pegawai-pegawai kanan dari BSJV, kerajaan serta universiti-universiti tempatan.

Haji Kamaludin dalam kata alu-aluannya turut berkata para pelajar yang dipilih untuk menerima biasiswa itu, apabila menamatkan pengajian mereka, diminta untuk mengekalkan standard mereka seperti ketika berada dalam universiti atau lebih baik lagi serta untuk menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Beliau berkata sudah menjadi visi BSJV untuk melabur dan membangunkan mereka yang berkeupayaan untuk menangani cabaran dari pelbagai sudut bagi memastikan pihak BSJV mempunyai bakat yang mahir untuk setiap masa bukan sahaja bagi BSJV tetapi juga untuk negara.

Di majlis berkenaan seramai enam orang pelajar terpilih menandatangani kontrak mereka di bawah Skim Biasiswa BSJV di mana pelajar-pelajar yang terpilih itu ialah Awang Muhammad Amirul Iqbal Salihan bin Ali, Khoo Kian Wee, Hajah Nur Shazrena binti Haji Mohamed Yakop, Chai Chang Wang, Dayang Nurul Adiibah Afini binti Abdul Majid dan Adrian James Yong Jet Xiang.

Di majlis itu juga, Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin menyampaikan Anugerah Penerima Kelas Pertama kepada 10 orang penerima cemerlang iaitu Dayang Affidah Daruis, Sia Kok Hau @ Kok Ming, Leonard Robert Young Lee Kwang, Awang Muhammad Ali bin Mahdan, Dayang Hakimah Sajidah binti Haji Kamal, Dayang Nur’Hazirah binti Haji Abdul Rahman, Siew Yick Ying, Aziidah binti Jofri, Awang Mohammad Badriadib Aldrin bin Awang Haji Suhaini dan Yapp Su Huan.

ARTIKEL YANG SAMA