BSJV hargai kakitangan

BSJV hargai kakitangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Seramai 272 orang kakitangan BSJV iaitu kakitangan dari Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Syarikat Gas Cecair Asli Brunei (BLNG) dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) telah diraikan dalam Majlis Penghargaan Perkhidmatan Lama Kakitangan Brunei Shell Joint Venture (BSJV), kelmarin.

Pada majlis yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu, 14 orang kakitangan menerima anugerah perkhidmatan 40 tahun, 77 orang menerima anugerah perkhidmatan 35 tahun, 108 orang menerima anugerah perkhidmatan 30 tahun dan 73 orang menerima anugerah perkhidmatan 25 tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah perkhidmatan lama kepada para penerima ialah Menteri Pembangunan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat-syarikat BSJV, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah ahli Lembaga Pengarah BSJV, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, wakil-wakil pengurusan kanan syarikat BSJV serta para penerima anugerah penghargaan yang diraikan.

Pengarah Urusan BSP, Andrew Faulkner ketika berucap pada majlis itu berkata, “Sebuah organisasi tidak akan mencapai kemajuan dan potensi sebenar sepenuhnya tanpa komitmen dan sokongan padu daripada kakitangannya.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai dengan para penerima anugerah 40 tahun perkhidmatan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai dengan para penerima anugerah 40 tahun perkhidmatan.

“Dedikasi dan peranan penting yang dimainkan oleh setiap kakitangan juga merupakan faktor penting dalam pencapaian segala mercu tanda dan pembangunan sesebuah syarikat.

“Sokongan dan komitmen setiap kakitangan amat diperlukan lebih-lebih lagi dalam menangani cabaran semasa harga minyak yang rendah pada masa ini, supaya BSJV mampu untuk pulih semula untuk mencapai masa depan yang maju dan menguntungkan,” jelas Andrew lagi.

Beliau menekankan, kakitangan BSJV yang diraikan itu memiliki pengalaman dan ilmu pengetahuan yang cukup berharga untuk dikongsi bagi membantu serta mendidik generasi kakitangan BSJV yang muda.

“Perkongsian pengalaman akan dapat menyelaraskan lagi usaha syarikat pada masa ini dalam membangunkan bakat kerja untuk memastikan masa depan yang lebih makmur untuk BSJV dan juga untuk Brunei.”

Pada majlis itu, kakitangan yang telah berkhidmat selama 40 dan 35 tahun menerima anugerah mereka daripada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin manakala bagi para penerima anugerah perkhidmatan 30 dan 25 tahun, anugerah mereka telah disampaikan oleh pengarah urusan syarikat-syarikat BSJV masing-masing.

Majlis Penghargaan BSJV itu diadakan untuk mengenal pasti dan menunjukkan penghargaan kepada kakitangan yang telah lama berkhidmat atas kesetiaan, kerja keras serta dedikasi yang ditunjukkan kepada syarikat masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA