BSM lancar bengkel jenama Shell Helix

BSM lancar bengkel jenama Shell Helix

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM), telah melancarkan bengkel kereta yang pertama kali menggunakan jenama BSM Shell Helix, di Bengkel Kereta TK Asco yang terletak di One Menglait Industrial Park, Jalan Pengkalan Gadong, di sini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Ketua Komersial BSM, Dayang Siti Kurshiah binti Haji Anuar dan pengarah-pengarah urusan TK Asco Enterprise, Dominic Ng dan Sandra Hong.

Turut hadir ialah Penghulu Mukim Gadong B, Mejar (B) Haji Bakar bin Haji Sapar.

Siti Kurshiah dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Para pengedar kami mengalu-alukan konsep bengkel berjenama Shell Helix kerana ia merupakan CVP yang wajar untuk mereka bagi membina kepercayaan dengan para pelanggan dan membantu mereka dengan pengekalan pengguna, pemerolehan pengguna dan membawa kepada kepercayaan jenama”.

Katanya lagi, dengan bengkel berjenama Shell Helix, para pelanggan boleh mempercayai pengedar BSM untuk menjaga kereta mereka pada harga yang berpatutan.

Perasmian bengkel yang disempurnakan oleh (dari kiri) Sandra, Siti Kurshiah dan Dominic.
Perasmian bengkel yang disempurnakan oleh (dari kiri) Sandra, Siti Kurshiah dan Dominic.

Dengan latihan yang diberikan kepada penasihat teknikal Shell (mekanik), tambah beliau, mereka mampu memberikan perkhidmatan dengan lebih profesional.

Bengkel ini akan memberi jaminan kepada orang ramai ke atas integriti dan kualiti produk-produk yang dijual, di samping itu, menawarkan tahap perkhidmatan yang baik oleh mekanik terlatih dan berpengalaman tanpa menunggu perkhidmatan yang terlalu lama, ditambah dengan penyediaan ruang menunggu yang selesa.

TK Asco Enterprise yang sebelum ini beroperasi di kawasan Menglait telah ditubuhkan dan mula beroperasi pada tahun 2010, di mana, mereka bermula dengan hanya lapan orang kakitangan dan kini berkembang kepada 20 orang dengan enam buah kenderaan.

Seiring dengan perkembangannya yang semakin mendapat sambutan, syarikat tersebut mula mencari tempat yang lebih besar untuk memberikan lebih perkhidmatan kepada para pelanggannya.

Menurut kenyataan BSM, Dominic Ng dan Sandra Hong mempunyai hubungan kerja yang telah lama dengan BSM.

Ia bermula dengan penglibatan kedua-duanya dengan bengkel bapa Sandra yang dikendalikan pada tahun 1980-an yang tertumpu pada peruncit produk-produk BSM.

Menurut Dominic, “Pada 2010, TK Asco Enterprise diberi penghormatan untuk mengikat perjanjian dengan BSM sebagai pengedar produk BSM. Dengan sokongan daripada BSM, usaha gigih semua kakitangan dan sokongan daripada pelanggan-pelanggan kami, TK Asco menjadi antara ejen terbaik BSM hari ini”.

Beliau juga melahirkan harapan agar TK Asco Enterprise akan mendapatkan sokongan berterusan daripada BSM, serta komitmen syarikat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

ARTIKEL YANG SAMA