BSP anjur kempen derma darah kali ke-2

BSP anjur kempen derma darah kali ke-2

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 12 Jun – Dengan matlamat menyokong usaha hospital di negara ini untuk mengekalkan bekalan darah yang berterusan dan mencukupi bagi para pesakit, Brunei Shell Petroleum Company Sdn Bhd (BSP) telah menganjurkan kempen derma darah kali kedua bagi tahun ini, di Dewan Cendrawasih, Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) di Seria.

Kempen yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga dan Kemudahan, Direktorat Pemprosesan Hidrokarbon BSP dengan kerjasama Pusat Derma Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu adalah bersempena dengan Hari Penderma Darah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut setiap bulan Jun, sebagai sebahagian daripada aktiviti Pelaburan Sosial tahunan BSP untuk memberi sesuatu kembali kepada masyarakat di sini.

Objektif kempen kali ini adalah untuk menggalakkan pendermaan darah yang tetap dan secara sukarela dengan mewujudkan kesedaran awam yang lebih luas mengenai keperluan untuk menderma.

Selain itu, Pusat Kesihatan Panaga juga telah memperkenalkan Program Penderma Darah yang mana semua kakitangan Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) yang layak serta ahli keluarga mereka adalah dipelawa untuk menjadi ‘penderma tunggu sedia (on stand-by)’ bagi kes-kes berkaitan kecemasan yang memerlukan darah segera terutamanya bagi kakitangan BSJV.

Antara kakitangan BSP yang menderma darah di BSRC.
Antara kakitangan BSP yang menderma darah di BSRC.
Pengarah komersial BSP, Haji Azhar turut menyertai kempen derma darah di BSRC.
Pengarah komersial BSP, Haji Azhar turut menyertai kempen derma darah di BSRC.

Mereka yang mempunyai jenis rhesus darah negatif seperti A-, B-, O- dan AB- adalah individu yang paling digalakkan untuk mendaftar dalam program ini kerana darah jenis ini jarang didapati di Brunei.

Jika ada kecemasan bagi memerlukan darah segera, penderma yang berdaftar itu akan dihubungi dan diberi lokasi hospital yang berkenaan untuk menderma darah.

ARTIKEL YANG SAMA