BSP jalankan kerja kemasyarakatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Julai – Dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan alam sekitar dan persekitaran terutama kawasan persekolahan serta bagi meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kemasyarakatan, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah menganjurkan kempen gotong-royong membersihkan kawasan Sekolah Rendah Kampung Sungai Teraban dan kawasan pantai kampung tersebut, di sini, hari ini.

Pengurus Aset Darat BSP, Awang Shamir Salahudin yang mengetuai kempen tersebut, memberitahu Media Permata, kakitangan BSP juga merupakan sebahagian daripada masyarakat dan dengan adanya kempen seperti itu akan meningkatkan lagi semangat kemasyarakatan dalam kalangan mereka.

Menurutnya, sekolah merupakan kawasan yang juga perlu dijaga kebersihannya serta keselamatan alam sekitar dan sebagainya kerana ia merupakan tempat kanak-kanak belajar dan dalam masa yang sama mengenali persekitaran mereka termasuklah alam sekitar dan keindahannya.

Kira-kira 150 orang kakitangan BSP, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Teraban dan ahli-ahli Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Sungai Teraban, penduduk kampung serta kakitangan syarikat kontraktor BSP telah melibatkan diri dalam aktiviti itu.

Awang Shamir Salahudin bersama Awang Mohd Mersidi dan sebahagian kakitangan BSP yang menyertai kempen tersebut.
Awang Shamir Salahudin bersama Awang Mohd Mersidi dan sebahagian kakitangan BSP yang menyertai kempen tersebut.

Ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan.
Ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Kerja-kerja membersihkan kawasan itu melibatkan pemotongan rumput, membersihkan taman permainan, membersihkan longkang-longkang sekolah, mengutip sampah dan sebagainya.

Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara yang juga menyertai kempen tersebut merakamkan rasa penghargaan ke atas projek yang diusahakan oleh Syarikat BSP dan melihat ia sebagai satu respons positif dalam memeduli kemasyarakatan di Daerah Belait selain dilihatnya sebagai rasa tanggungjawab syarikat tersebut dalam menjaga kesejahteraan alam sekitar serta komitmen mereka itu menjadi satu mercu tanda bagi penduduk di kampung itu.

“Sebagai mewakili penduduk kampung, kami merakamkan penghargaan atas usaha seperti ini dan berharap ia akan dapat dijadikan iktibar dan salah satu usaha berterusan oleh badan-badan komuniti kemasyarakatan lainnya, dalam sama-sama membantu kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” ujarnya.