BSP kini miliki Pusat Latihan

BSP kini miliki Pusat Latihan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 23 Nov – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), dalam usaha memacu perkembangan perniagaan dan pencapaian piawaian bertaraf dunia dari segi keupayaan teknikal dan profesional kepada penduduk di negara ini, telah memperkenalkan Pusat Latihan Operasi Telaga Bersepadu yang ditempatkan di Pusat Pembelajaran Shell Asia Pasifik Brunei (BAPSLH), di sini.

Pusat tersebut akan menyediakan latihan bagi kecekapan penggerudian telaga melalui gabungan latihan dalam bilik darjah dan simulasi penggerudian telaga yang berteknologi tinggi.

Sehubungan itu, majlis perasmian pusat latihan telah disempurnakan hari ini oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Pengarah Urusan BSP, Andrew Faulker dalam ucapan alu-aluannya berkata, pengenalan latihan itu merupakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan syarikat untuk menaik taraf pusat latihan mereka, selepas dinaiktarafkan pada tahun 2007 apabila pusat itu dinamakan semula kepada BAPSLH dengan hasrat untuk menyediakan peluang memacu perkembangan perniagaan dan mencapai piawaian bertaraf dunia dalam keupayaan teknikal dan profesional rakyat negara ini.

Menurutnya, pasukan di syarikat tersebut telah bekerja keras sejak dua setengah tahun lalu untuk mewujudkan pusat latihan telaga ini yang menelan belanja $3 juta termasuk pembelian simulasi penggerudian telaga berteknologi tinggi.

Dato Paduka Haji Jamain bergambar ramai bersama pegawai kanan di Syarikat BSP Sdn Bhd dan BAPSLH.
Dato Paduka Haji Jamain bergambar ramai bersama pegawai kanan di Syarikat BSP Sdn Bhd dan BAPSLH.
Dato Paduka Haji Jamain ketika mencuba operasi simulasi penggerudian telaga di BAPSLH, kelmarin.
Dato Paduka Haji Jamain ketika mencuba operasi simulasi penggerudian telaga di BAPSLH, kelmarin.
Dato Paduka Haji Jamain menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pusat Latihan Operasi Telaga Bersepadu.
Dato Paduka Haji Jamain menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Pusat Latihan Operasi Telaga Bersepadu.

Beliau menambah, pusat tersebut memberikan kesan positif dalam membangunkan dan melatih kakitangan syarikat itu dengan lebih cekap daripada segi kos dan masa.

“Sebelum ini, syarikat telah menghantar beratus-ratus orang kakitangan ke luar negara untuk menyertai latihan seperti ini, dan setiap tahun syarikat membelanjakan hampir $1 juta bagi menampung kos latihan, dan kini kita dapat menjalani latihan di tempat sendiri.

“Lebih penting lagi akan dapat mengekalkan perbelanjaan dalam negeri, dengan adanya pusat ini, kami boleh memberikan keutamaan kepada anak-anak tempatan, ia juga bermakna mereka kini boleh dilatih dengan kapasiti latihan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dengan wujudnya pusat latihan tersebut, ia membuktikan komitmen berterusan BSP dalam usaha membangunkan keupayaan kakitangan mereka dan untuk merealisasikan wawasan negara serta terus membantu mereka ‘menghasilkan tenaga untuk kehidupan’ dan menjana masa depan negara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Sumber Manusia BSP, Haji Kamaluddin bin Bungsu, memberitahu pihak media, pusat tersebut mampu melatih seramai 700 orang setiap tahun dan akan dapat memenuhi pasaran di negara ini yang merangkumi kakitangan syarikat itu sendiri dan juga syarikat kontraktor mereka, selain akan turut menampung kalangan pelajar umpamanya dari Brunei Petroleum, Politeknik Brunei dan Institut Teknologi Brunei (ITB).

Menurut beliau lagi, setelah mendapatkan kemahiran di pusat itu, para pelatih bukan sahaja untuk memenuhi keperluan dalam negara, tetapi boleh dipasarkan ke negara luar dengan hasrat mereka akan pulang dengan membawa lebih banyak pengalaman dan kemahiran.

Daripada segi latihan, pusat itu bukan hanya mahu mengintegrasikan pembelajaran di dalam kelas tetapi juga memberikan pengalaman bekerja di lapangan, dan akan menjadi pembelajaran yang berterusan malah mereka yang mempunyai kecekapan juga perlu berada di sana untuk membantu.

“Teknologi menggabungkan simulasi dengan telaga sebenar sangat jarang dan kita rasa berbangga mempunyai kemudahan yang berteknologi tinggi ini, dan syarikat juga berharap ia akan menarik minat syarikat Shell dari negara jiran seperti Malaysia, Indonesia dan sebagainya untuk menghantar kakitangan mereka menjalani latihan di sini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA