BSP lancar latihan bersama

BSP lancar latihan bersama

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), hari ini, telah mengadakan “Latihan Belangkas 2015” bersama beberapa agensi kerajaan di Pangkalan Pembekalan, Pengangkutan dan Logistik (STL) di Muara, dengan melibatkan lebih 200 kakitangan.

Menurut kenyataan BSP, hari ini, sejak edisi pertama pada 2013, latihan berdasarkan piawaian Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) itu dijalankan bagi membolehkan kedua-dua pihak menguji kecekapan pelaksanaan dan komunikasi pelan keselamatan antara BSP dan agensi-agensi kerajaan dalam bertindak balas kepada insiden keselamatan di kawasan kemudahan pelabuhan.

Penyelaras Tindak Balas Kecemasan BSP, Pengiran Zamni bin Pengiran Haji Tajuddin berkata, latihan tahunan itu membantu menguji integrasi Pasukan Kecemasan BSP dengan agensi-agensi kerajaan.

“Kami ingin menguji prosedur kesediaan kecemasan kami dan satu lagi aspek penting ialah integrasi antara Pasukan Kecemasan BSP dengan pihak berkepentingan luaran, iaitu agensi kerajaan, untuk melihat bagaimana integrasi akan diurus dan dikendalikan dalam situasi kecemasan sebenar,” Pengiran Zamni, yang juga pengarah latihan bersama itu, dipetik sebagai berkata dalam kenyataan berkenaan.

Beliau menambah, latihan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti jurang-jurang dalam prestasi semua pihak yang terlibat dan mereka perlu menutup semua jurang ini supaya ia tidak berlaku semasa kejadian sebenar.

Pasukan tindak balas kecemasan bekerjasama.
Pasukan tindak balas kecemasan bekerjasama.
Komander di tempat kejadian memberikan penerangan kepada agensi-agensi kerajaan di Pos Arahan Insiden.
Komander di tempat kejadian memberikan penerangan kepada agensi-agensi kerajaan di Pos Arahan Insiden.
Latihan menangkap seorang suspek.
Latihan menangkap seorang suspek.

“Kami akan terus belajar daripada latihan demi latihan supaya lebih bersedia semasa kejadian sebenar.”

Latihan tersebut telah dijalankan bersama STL BSP Muara, Brunei Shell Marketing (BSM) dan pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Laut, Jabatan Pelabuhan, Kementerian Kesihatan dan Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA