BSP meriahkan Hari Raya Korban

BSP meriahkan Hari Raya Korban

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 15 Sept – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan mengadakan majlis ibadah korban di Big Top, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) di sini, hari ini.

Sejumlah sembilan ekor kerbau telah dikorbankan melalui gabungan ibadah korban daripada 63 orang dalam kalangan kakitangan Syarikat BSP dan ahli keluarga untuk diagihkan kepada seramai 300 penerima termasuk 250 orang asnaf fakir miskin yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), selain masyarakat umum dan kakitangan Syarikat BSP.

Pengagihan daging berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengarah Komersial BSP, Hajah Faridah binti Dato Seri Paduka Haji Talib kepada para penerima perempuan dan Pengurus Operasi East Asset, Haji Sufri bin Haji Sulaiman bagi pengagihan kepada penerima lelaki.

Pengagihan daging-daging ibadah korban Syarikat BSP, bagi penerima lelaki telah disempurnakan oleh Haji Sufri.
Pengagihan daging-daging ibadah korban Syarikat BSP, bagi penerima lelaki telah disempurnakan oleh Haji Sufri.
Hajah Faridah ketika menyampaikan agihan daging kepada salah seorang penerima perempuan.
Hajah Faridah ketika menyampaikan agihan daging kepada salah seorang penerima perempuan.

Majlis anjuran Jabatan Perhubungan Luar dan Komunikasi BSP (CEA) dengan kerjasama jawatankuasa keagamaan BSP itu merupakan aktiviti perkongsian sosial tahunan dikendalikan oleh syarikat berkenaan dengan penglibatan sama dalam kalangan kakitangannya dan juga masyarakat.

Turut hadir pada majlis itu ialah penghulu-penghulu dan ketua kampung Daerah Belait serta pegawai-pegawai kanan Syarikat BSP Sdn Bhd.