BSP pandang serius isu gaji pekerja

BSP pandang serius isu gaji pekerja

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) mengambil beberapa langkah membantu pekerja-pekerja sebuah syarikat kontraktornya yang tidak dibayar gaji mereka bagi bulan Jun.

BSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada Sabtu 2 Julai, salah sebuah kontraktornya telah mengeluarkan satu memo kepada semua pekerjanya berhubung pembayaran gaji. Susulan itu, memo tersebut juga telah tersebar melalui media-media sosial.

Memo tersebut mendakwa bahawa kontraktor berkenaan tidak berupaya membayar gaji pekerjanya bagi bulan Jun kerana keengganan pihak BSP membayar invois bulan Mei kontraktor tersebut.

BSP berkata, mereka memandang serius dakwaan kontraktor berkenaan yang mereka (kontraktor itu) tidak akan membayar gaji bulan Jun pekerja.

Brunei Shell

“Meskipun pembayaran gaji pekerja adalah tanggungjawab sah pihak kontraktor, namun atas rasa ihsan dan prihatin terhadap pekerja-pekerja terbabit, BSP sedang mengambil beberapa langkah untuk memastikan soal kebajikan kakitangan kontraktor tersebut terjamin,” kata kenyataan itu lagi tanpa menyebut jumlah pekerja yang terlibat.

BSP seterusnya menegaskan bahawa pembayaran ihsan itu dibuat tanpa sebarang prasangka ke atas hak undang-undang BSP terhadap kontraktor itu, yang dinyatakan secara jelas termaktub.

BSP berkata, mereka menjalankan tanggungjawab perniagaan dengan mematuhi undang-undang Negara Brunei Darussalam dan berharap serta menghendaki para kontraktornya juga berbuat demikian.

Memandangkan dakwaan kontraktor tersebut sesuatu yang serius, BSP turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membantu menyelesaikan isu ini, kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL YANG SAMA