BSP rai Hari Keselamatan Sedunia

BSP rai Hari Keselamatan Sedunia

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 April – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) turut tidak ketinggalan memperingati Hari Keselamatan yang disambut setiap tahun oleh syarikat-syarikat Shell di seluruh dunia, dengan mengadakan majlis yang berlangsung di Kafe dan Restoran Serikandi dekat sini, hari ini.

Majlis yang memfokuskan Proses Keselamatan itu dianjurkan oleh BSP East Maintenance and Integrity (EMI) dan turut disertai Syarikat Brudesh Engineering & Management Sdn Bhd.

Menghadiri majlis tersebut termasuklah kalangan pegawai dan kakitangan dari EMI dan Syarikat Brudesh Engineering and Management termasuk yang bertugas di luar pantai.

Pengarah Urusan Syarikat Brudesh Engineering and Management, Hajah Sapurahbee binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, Kempen Hari Keselamatan BSP diadakan antaranya untuk menggalakkan semua pekerja meningkatkan kesedaran dan kepekaan pentingnya keselamatan dan mampu mengurangkan kemalangan, kecederaan dan sifar waktu kecederaan.

Beliau juga menekankan, syarikat mereka mahu semua pekerja sedar akan risiko yang mereka hadapi setiap hari dan perlu mengambil langkah-langkah untuk menguruskan risiko tersebut.

Pegawai daripada EMI dan warga Syarikat Brudesh Engineering and Management hadir pada Hari Keselamatan BSP tersebut.
Pegawai daripada EMI dan warga Syarikat Brudesh Engineering and Management hadir pada Hari Keselamatan BSP tersebut.

Majlis tersebut turut dimuatkan dengan penyampaian taklimat ringkas mengenai Hari Keselamatan yang disampaikan oleh Pengurus EMI, Haji Mohd Asrul Saniy bin Haji Mohd Arif.

Turut diadakan ialah acara ice breaking dan sesi sindiket, yang memberikan penekanan kepada pentingnya untuk sentiasa berwaspada pada setiap masa dan mengambil berat terhadap satu sama lain, yang melibatkan penyertaan pegawai dan kakitangan EMI dan Syarikat Brudesh yang hadir.

Dalam sesi tersebut, mereka membentangkan bagaimana keselamatan itu penting dan memastikan mereka pulang ke sisi keluarga dengan selamat.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah PAKAT kepada Awang Bujang bin Haji Ahmad, yang terpilih sebagai PAKAT terbaik untuk bulan April 2016, yang disempurnakan oleh Pengurus Kontrak Syarikat Brudesh, Malai Izzati Faris bin Malai Haji Abdul Hamid.

PAKAT merupakan satu proses yang menggalakkan semua pekerja terlibat sama ke atas perkara berkaitan keselamatan di tempat kerja.

ARTIKEL YANG SAMA