BSP sahkan paip bocor

BSP sahkan paip bocor

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 29 Sept – Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah mengesahkan bahawa kebocoran saluran paip telah dikesan pada salah satu saluran paip di kawasan pesisiran luar pantai AMPA9 pada pagi kelmarin.

Menurut kenyataan BSP, hari ini, saluran paip terbabit terletak berdekatan dengan pelantar yang biasanya tanpa manusia, AMPA DP15/24, dan terletak 10 kilometer di luar pantai Kuala Belait.

Gas menggeledak telah kelihatan dan dilaporkan oleh Pengurus Pemasangan Luar Pantai dan langkah berjaga-jaga segera diambil dengan memindahkan seramai 17 orang kakitangan yang bekerja di atas pelantar.

Berikutan itu, Pasukan Tindakan Insiden dan Sumber BSP telah diaktifkan untuk mengurus dan menyelesaikan keadaan dengan selamat, dan hari ini, gelembung gas tidak lagi kelihatan, sementara itu siasatan telah dilakukan untuk menyiasat punca kejadian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, BSP telah menetapkan prosedur dan sumber untuk menguruskan keadaan, dan keselamatan awam, aset serta persekitaran kekal menjadi keutamaan syarikat tersebut.