BSRC ratah Perkasa

BSRC ratah Perkasa

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 26 Mei – Md Harith bin Mahari meledakkan empat jaringan untuk membantu BSRC FT membenam Perkasa FC 5-0 dalam saingan Liga Perdana DST malam tadi.

Perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu hanya berkesudahan 1-0 pada separuh masa pertama, hasil jaringan pertama Md Harith pada minit ke-21.

Md Harith kemudian mencipta dua jaringan dalam tempoh 10 minit untuk catatan hatriknya malam tadi menerusi jaringannya pada minit ke-53 dan 63 perlawanan sekaligus merubah kedudukan menjadi 3-0.

Dua puluh minit berselang selepas hatrik Md Harith, Nur Hazwan Khan bin Asmah Khan pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring untuk menambah pendahuluan BSRC kepada 4-0.

Walaupun sudah jauh meninggalkan Perkasa, Md Harith jelas masih belum berpuas hati dengan catatan hatriknya itu sehingga dia berterusan berusaha mendapatkan gol tambahan buat pasukannya sehingga dia berjaya mencapainya pada masa kecederaan, minit ke-90+2.

BSRC FT menang 5-0 ke atas Perkasa FC dalam aksi Liga Perdana DST di Kompleks Sukan Tutong semalam.
BSRC FT menang 5-0 ke atas Perkasa FC dalam aksi Liga Perdana DST di Kompleks Sukan Tutong semalam.

Dengan tiga mata ini, BSRC kini mengumpul 10 mata dari sembilan perlawanan dengan penghasilan 19 jaringan dan dibolosi 17 kali, sekali gus melonjakkannya naik satu anak tangga ke tangga keenam.

Pasukan di tangga kelima, Menglait FC turut mengumpul 10 mata tetapi berada di atas BSRC dengan kelebihan perbezaan jaringan, +3 dari 16 jaringan dan 13 bolos, berbanding hanya +2 buat BSRC.