BSS B15 mara ke final

BSS B15 mara ke final

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Penyerang Brunei Sports School (BSS) B15, Muhd Suhaily Syafiee bin Abdullah Masrazni dan penjaga golnya, Mohd Syukri bin Shahrin muncul menjadi wira pasukan dengan sumbangan penting masing-masing di sepanjang perlawanan dan ketika sepakan penalti penentuan.

Mohd Syukri menyelamatkan tiga sepakan penalti pemain Tabuan B14 bagi membantu pasukannya, BSS B15 menang 3-1 dan mara ke final Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 dengan agregat 4-2 selepas perlawanan masa sebenar tamat 1-1.

Sementara itu, Muhd Suhaily Syafiee menjaringkan gol penyamaan, 1-1 pada minit ke-53 iaitu tujuh minit sebelum perlawanan masa sebenar berakhir dan kemudiannya menjaringkan sepakan penalti penentuan keempat yang memastikan kemenangan berpihak kepada BSS B15.

Mula-mula Mohd Syukri menidakkan sepakan penalti pertama Tabuan B14 yang diambil Mohd Syami Fadhlillah bin Mohd Helmi dan seterusnya menyelamatkan sepakan Muhd Nazhan bin Zulkifle, selepas tendangan Ketua Pasukan BSS B15, Umar Abdul Aziz bin Haji Abdul Mutalip melambung melepasi palang gol.

BSS B15 mendahului 1-0 dalam sepakan penalti penentuan itu apabila Muhd Najibmudin bin Haji Ismail berjaya, namun kedudukan segera menjadi 1-1 setelah Mohd Badri Hakimin bin Aminuddin menyempurnakan sepakan penaltinya.

BSS B15 (kuning) menentang Tabuan B14 yang berkesudahan seri 1-1 tetapi BSS B15 menang 3-1 menerusi penentuan penalti.
BSS B15 (kuning) menentang Tabuan B14 yang berkesudahan seri 1-1 tetapi BSS B15 menang 3-1 menerusi penentuan penalti.

BSS B15 kembali di depan, 2-1, apabila Awangku Mohd Yamin Hadi bin Pengiran Ahmad menggegar gawang Tabuan B14. Kemudian Mohd Syukri sekali lagi berjaya menampan bola dari masuk ke gawangnya sekalipun timbul kontroversi beliau bergerak awal ke depan sebelum Muhd Khoirunnaas bin Khalid menendang bola.

Penendang keempat BSS B15, Muhd Suhaily Syafiee perlu menjaringkan sepakan penaltinya bagi memastikan kemaraan pasukannya ke final dan dalam tekanan besar sedemikian dia berupaya menyempurnakannya sekali gus menyebabkan kesemua pemain BSS B15 berlari kepadanya meraikan kejayaan mereka.

Dalam tempoh masa sebenar perlawanan pula, kedudukan pada separuh masa pertama adalah seimbang 0-0 dan begitu juga pada separuh masa kedua tetapi dengan jaringan 1-1.

Tabuan B14 yang menerajui perlawanan 1-0 pada minit ke-40 menerusi jaringan Mohd Hadif Aiman bin Mohd Haji Adanan, sebelum disamakan menjadi 1-1 oleh Muhd Suhaily Syafiee 13 minit kemudian yang kekal sehingga perlawanan tamat bagi memaksa perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti penentuan.

ARTIKEL YANG SAMA