BSS labur AS$45 juta bagi peroleh sekolah di Asia Tenggara

BSS labur AS$45 juta bagi peroleh sekolah di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Beaconhouse School System (BSS) yang berpusat di United Kingdom, sebuah rangkaian sekolah swasta antarabangsa, akan melabur US$45 juta untuk memperoleh sekolah di Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada pengembangannya ke rantau ini.

Pengarah Serantau Syed Jahanzeb Shah Syed Himayet Ali Shah berkata BSS pada masa ini terdapat di United Kingdom, Pakistan, Bangladesh, Oman, United Emirates, Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia dengan jumlah pelajar lebih 300,000 orang.

Di Asia Tenggara, BSS telah melabur sehingga US$100 juta dalam empat sekolah di Thailand, Filipina (4), Indonesia (9) dan Malaysia (12).

“Kami turut melihat pasaran lain seperti Vietnam dan kami akan berkembang di Malaysia, Thailand dan Filipina,” katanya kepada Bernama.

Di Malaysia, kesemua 12 sekolah Beaconhouse tertumpu di Lembah Klang yang terdiri daripada dua antarabangsa, dua sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan dan lapan tadika.

Beaconhouse kini dalam proses untuk memuktamadkan rundingan bagi meluaskan operasinya ke Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Baharu dengan pelaburan RM100 juta untuk memulakan operasi sekolah di negeri tersebut.

Syed Jahanzeb berkata Beaconhouse Malaysia juga sedang mengkaji beberapa pilihan pengembangan di Lembah Klang dan akan menambah satu lagi sekolah antarabangsa dan tadika utama dalam tahun ini juga.

“Di Malaysia, kami menyasarkan untuk menggandakan jumlah pelajar kami dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang berbanding 3,000 pelajar pada masa ini.

“Jika kami memperoleh satu atau dua buah sekolah, kami mungkin dapat mencapainya dalam tempoh setahun,” katanya, sambil menambah, permintaan untuk pendidikan swasta semakin meningkat di Malaysia berdasarkan jumlah sekolah swasta dan antarabangsa yang meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA