BSUnion lantik AJK baru

BSUnion lantik AJK baru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Pelajar kursus Sarjana Muda Dalam Falsafah dan Politik di University of Essex, Dayang Nur Fifi Hazwani binti Hasman terpilih sebagai Yang Di-Pertua (YDP) Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Eire (BSUnion) bagi Sesi 2016-2017.

Pengumuman mengenai pelantikan beliau dibuat pada majlis serah-terima tugas antara bekas ahli-ahli jawatankuasa sesi tahun 2015/2016 kepada ahli-ahli jawatankuasa sesi tahun 2016/2017 yang baru dilantik, yang berlangsung di Brunei Hall, Norfolk Square, London, baru-baru ini.

Hadir menyaksikan upacara penyerahan tugas itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pengarah Pengajian Unit Penuntut-penuntut, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin, para pegawai dari Unit Penuntut-penuntut serta ahli-ahli Majlis Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Eire.

Dalam ucapan alu-aluan Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli majlis sesi tahun 2015/2016 yang telah menamatkan tugas, serta kepada ahli-ahli majlis sesi tahun 2016/2017 yang bakal memulakan tugas pada tahun ini.

Para pegawai dari Unit Penuntut-penuntut serta ahli-ahli Majlis Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Eire bergambar ramai selepas majlis pelantikan itu.
Para pegawai dari Unit Penuntut-penuntut serta ahli-ahli Majlis Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Eire bergambar ramai selepas majlis pelantikan itu.

Sementara dalam ucapan alu-aluannya, YDP Persatuan Penuntut-penuntut Muhammad Ayyub bin Haji Kamaludin berkata, Jawatankuasa Majlis Pelajar itu memfokuskan inisiatifnya kepada beberapa perkara sepanjang setahun kebelakangan ini, iaitu supaya menjadi lebih responsif, berhemat dan lebih relevan.

“Alhamdulillah, dalam ketiga-tiga aspek ini, nampak seperti ada peningkatan yang positif seperti yang dibincangkan semasa Mesyuarat Agung Persatuan baru-baru ini.

“Bercakap mengenai responsif, kita telah bersikap responsif kepada agensi-agensi kerajaan, kepada pertubuhan penuntut lain dan badan-badan di sektor swasta namun yang paling penting adalah responsif kepada hal ehwal serta kesejahteraan penuntut-penuntut kita di United Kingdom dan Eire,” ujarnya.

Beberapa inisiatif yang telah dirancang dan akan dijalankan, termasuk portal perumahan, rangkaian akademik, dan khidmat nasihat karier, katanya sambil menambah, persatuan tersebut berbeza daripada persatuan pelajar lain kerana banyak memainkan peranan bersifat dalaman yang kuat seperti peranan ke arah kesejahteraan dan khidmat konsular, selain inisiatif luaran seperti iaitu pengendalian acara-acara.

Dayang Nur Fifi Hazwani dalam ucapannya, berkata, persatuan ini telah melahirkan pemimpin dan penggerak masyarakat.

Beliau berharap semua ahli majlis akan sentiasa proaktif dalam memperoleh sedikit sebanyak pengalaman untuk mengurus organisasi atau acara dan berhubung dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom dan Ireland Utara, Unit Penuntut serta pihak luar.

Majlis disusuli dengan perjumpaan Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama YDP Persatuan Penuntut-penuntut Brunei bagi sesi tahun 2015/2016 dan bagi sesi tahun 2016/2017 di Bilik Simpur, Brunei Hall.

ARTIKEL YANG SAMA