Buah-buahan Malaysia mampu tembusi Romania

Buah-buahan Malaysia mampu tembusi Romania

BUCHAREST, 2 Okt – Buah-buahan tempatan Malaysia mempunyai potensi untuk menembusi pasaran buah-buahan tropika di Romania dengan menggunakan strategi yang sesuai, kata Duta Malaysia di Romania Datuk Tajulaman Mohammad.

Beliau yakin usaha Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) Malaysia dari The Hague, Belanda membuka pasaran baharu seperti di Romania, mampu membuahkan hasil kerana pasaran di negara ini sudah tersedia untuk buah-buahan tropika.

Tajulaman berkata demikian ketika ditemui Bernama sempena program promosi buah-buahan eksotik Malaysia di pasar raya besar Carrefour di Baneasa, di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak PPP dan pengeksport perlu teliti dalam memilih buah-buahan yang sesuai untuk dipasarkan di negara ini kerana perlu bersaing dengan buah-buahan tropika seperti nanas yang diimport dari negara Amerika Selatan.

“Lihat buah-buahan yang sesuai, nampaknya nangka, belimbing dan buah naga menjadi tumpuan (pelanggan Carrefour),” katanya.

Program promosi buah-buahan eksotik Malaysia selama dua hari bermula Jumaat di pasar raya besar Carrefour, di Park Lake di sini. Antara buah-buahan yang dipamerkan ialah nanas, nangka, buah naga, markisa, rambutan, manggis selain kerepek nanas, nangka serta kerepek isi kelapa.

Tiga syarikat yang menyertai pameran pada kali ini ialah DRS Trading Sdn Bhd, Ganda Kota Ganda Sdn Bhd and Cemara Food Industries Sdn Bhd.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kelebihan untuk mengeksport buah-buahan tropika ke Romania kerana jarak antara kedua-dua negara yang lebih dekat berbanding dengan negara Amerika Selatan.

Ditanya mengenai peluang perniagaan di Romania beliau berkata tidak ramai rakyat Malaysia yang begitu mengenali negara ini, hanya dua perkara dari Romania yang terkenal di Malaysia iaitu bekas atlet gimnastiknya Nadia Comaneci dan Drakula.

Bagaimanapun, beliau berkata bekas negara sosialis ini yang sudah menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) mempunyai potensi untuk berkembang, antara-nya dalam bidang prasarana.

Beliau berkata tidak banyak lebuh raya dibangunkan di negara ini dan jalan raya seperti di Bucharest lazimnya agak sempit dan syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan lebuh raya mungkin boleh mengintai peluang di sini.

Selain daripada itu, kos tenaga kerja dan operasi di Romania masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara-negara anggota EU yang lain.

Tajulaman berkata Romania juga mempunyai banyak pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia juga menarik perhatian warga Romania yang gemarkan pantai dan laut untuk dilawati.

Pada tahun lepas sejumlah 8,500 pelancong Romania melawat Malaysia dan beliau berkata Tourism Malaysia sudah mula mendekati agensi-agensi pelancongan di sini untuk menarik lebih ramai lagi pelancong Romania.

Antara faktor yang mendorong mereka ke Malaysia ialah kadar tukaran mata wang Romania, Lei, yang agak setara dengan ringgit Malaysia, katanya.

(Satu Euro bersamaan 4.43 Lei dan kira-kira RM4.46). Beliau berkata mungkin jumlah pelancong dapat ditingkatkan dengan adanya penerbangan terus dari Bucharest ke Kuala Lumpur kerana buat masa ini pelancong perlu transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu ataupun Doha, Qatar sebelum ke Kuala Lumpur.

Tajulaman berkata jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Romania pada 2015 adalah RM184 juta dan lebihan dagangan adalah berpihak kepada Malaysia.

Antara eksport Malaysia ke Romania ialah barangan elektrik dan elektronik, jentera dan minyak sawit manakala eksport Romania ke Malaysia ialah bahan kimia, baja, jentera dan barangan elektrik serta elektronik. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA