Buangan Olimpik, NZF buat rayuan

Buangan Olimpik, NZF buat rayuan

WELLINGTON, 14 Julai (AFP) – Presiden Persatuan Bola Sepak New Zealand, Andy Martin melahirkan rasa terkejut dengan penyingkiran pasukan negara itu daripada kelayakan Olimpik dan sedia untuk membuat rayuan.

Penyertaan pasukan kebangsaan negara itu dibatalkan selepas menyenaraikan pemain melebihi had umur, beberapa jam sebelum perlawanan akhir Kejohanan Sukan Pasifik di Papua New Guinea.

Martin berkata, dia akan berusaha untuk menggunakan semua saluran yang ada bagi memastikan New Zealand mempunyai peluang untuk layak ke Olimpik Rio pada tahun depan.

“Perkara yang berlaku ini sesuatu yang memalukan,” katanya kepada wakil media. “Kami berada di sana dan bermain dengan kepercayaan baik…namun kami disingkirkan selepas itu.”

Masalah berbangkit selepas Vanuatu mempersoalkan kedudukan pemain New Zealand kelahiran Afrika Selatan, Deklan Wynne selepas mereka kalah 2-0 kepada lawannya itu di peringkat separuh akhir.

Persekutuan Bola Sepak Oceania kemudian mendapati pemain berusia 20 tahun itu tidak sepatutnya beraksi dan mengambil keputusan untuk memberi kemenangan kepada Vanuatu sekali gus menyingkirkan New Zealand.

Mengikut peraturan FIFA, pemain kelahiran luar yang tiada hubungan dengan negara diwakilinya tidak boleh mewakili pasukan itu kecuali mereka menetap di situ selama lima tahun selepas berusia 18 tahun.

Martin berkata Wynne berpindah ke New Zealand bersama keluarganya pada usia 14 tahun dan membesar bersama sistem golongan muda di negara itu sekali gus tidak menimbulkan sebarang keraguan mengenai statusnya.

“Ianya sangat memalukan bola sepak New Zealand dan sukan ini keseluruhannya,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA