Buat bersungguh-sungguh

Buat bersungguh-sungguh

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan bahawa penggubalan Akta Kanun Hukuman Jenayah Syariah (CPC) bukan perkara yang main-main tetapi harus dibuat semata-mata kerana Allah, bukan untuk glamor.

Penggubalannya juga mesti dibuat dengan bersungguh-sungguh untuk mengelak tanggapan Akta Kanun Hukuman Jenayah Syariah sebagai tidak berharga di mata mekanisma undang-undang yang ada.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam mesyuarat berkenaan, Baginda ingin mengetahui status semasa CPC Syariah, berapa banyak fasa pembangunan yang ada dan berapa banyak yang telah pun dilaksanakan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan bertitah dalam keberangkatan ke Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan bertitah dalam keberangkatan ke Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Haji Harun bin Haji Junid ketika berada di Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, MUIB.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Haji Harun bin Haji Junid ketika berada di Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, MUIB.
Baginda Sultan semasa berkenan menyaksikan dan disembahkan taklimat barangan serta buku-buku risalah yang ditegah masuk ke Negara Brunei Darussalam.
Baginda Sultan semasa berkenan menyaksikan dan disembahkan taklimat barangan serta buku-buku risalah yang ditegah masuk ke Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan bergambar ramai.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan bergambar ramai.

“Fasa pertama, Akta Kanun Hukuman Jenayah Syariah telah pun dikuatkuasakan pada 1 Mei 2014. Kemudian untuk fasa kedua dapat dilaksanakan, kita mesti pula menunggu 12 bulan lagi dari tarikh CPC atau Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah diwartakan.

“Sekarang masa sudah pun berlalu dua tahun, namun CPC Syariah belum juga diwartakan. Bahkan setakat itu, drafnya pun belum lagi disemak. Bererti, jika ia siap dan diwartakan pada tahun 2016 ini, maka kita akan menunggu pula setahun lagi, iaitu pada tahun 2017 barulah fasa kedua ini dapat dilaksanakan.

“Sementara bagi fasa ketiga pula akan menunggu lagi sehingga ke tahun 2018. Sudahlah tempoh menunggu bagi setiap masa untuk dapat dilaksanakan terlalu panjang, iaitu selama 12 bulan, ditambah lagi membawa lebih lambat ialah penyemakan draf CPC Syariah tidak dibuat dengan sepatutnya. Jadi sampai bilakah lagi Akta Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah itu akan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” tegas baginda.

Baginda turut mempersoalkan mengapakah para penyemak draf tidak dapat menyemaknya dengan segera, adakah betul tidak dapat menyemaknya dengan segera atau sengaja tidak mahu menyemaknya.

“Sekali lagi beta bertanya, mana menteri dan mana peguam negara? Tidakkah mereka mahu menyubuk-nyubuk di mana kerja itu dibuat oleh pegawai dan kakitangan mereka,” tegas Baginda.

Baginda bertitah menegaskan bahawa kerja kerana Allah tidak boleh tidak, mestilah dibuat dengan bersungguh-sungguh.

Titah Baginda lagi, pelan strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama meliputi objektif misi dan visi kementerian. Semua itu akan memperkasa formaliti dan amalan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap untuk mencapai Negara Zikir; menyokong dan memulihara formaliti Islam serta untuk membangunkan Islam melalui dasar-dasar dan pentadbiran yang berkesan dan dinamik untuk pembangunan dan kemakmuran negara berdasarkan Undang-undang Syariah, perlembagaan negara, undang-undang dan falsafah Melayu Islam Beraja.

“Bercakap tentang undang-undang, di hadapan kita sekarang ialah CPC Syariah,” titah Baginda.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Yang Di-Pertua MUIB.

Turut hadir ialah Ketua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Yang Di-Pertua MUIB, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Selepas mesyuarat itu, Baginda berkenan berangkat melawat Kementerian Hal Ehwal Ugama, di mana Baginda berkenan melawat Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat di bawah Jabatan MUIB, Jabatan Urusan Haji, Dasar, Perancangan dan Bahagian Penyelidikan, Bahagian Kemajuan Syi’ar Islam dan Bahagian Teknologi Maklumat.

Baginda berkenan meneruskan lawatan ke Pusat Dakwah Islamiah di mana Baginda melawat Unit Penerbitan Tafsir Darussalam, Bahagian Pembangunan Dakwah, Bahagian Pembangunan Muallaf dan Dewan Pameran Pusat Dakwah Islamiah.

ARTIKEL YANG SAMA