Buat tempahan sebelum pemeriksaan kenderaan 7 tahun ke atas

Buat tempahan sebelum pemeriksaan kenderaan 7 tahun ke atas

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan sekali lagi mengingatkan bahawa bermula 14 Disember ini pemeriksaan kenderaan persendirian tujuh tahun dan ke atas secara ‘walk-in’ akan diberhentikan dan semua pemeriksaan kenderaan berkenaan hanyalah melalui tempahan sahaja.

Sementara itu, bermula 16 November lalu, jumlah pemeriksaan kenderaan persendirian tujuh tahun dan ke atas yang dipandu terus ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD Beribi, Gadong dihadkan kepada 40 kenderaan sahaja pada waktu pagi dan 30 pada waktu petang.

JPD, dalam kenyataannya turut memberitahu bahawa statistik sejak sistem ini diperkenalkan pada 4 Jun 2015 menunjukkan, secara purata 3,700 buah kenderaan telah diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD, Beribi.

Pemeriksaan melalui tempahan telah menunjukkan kenaikan 1,100 purata Jun hingga Ogos kepada 1,500 purata September hingga Oktober.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah 35 peratus daripada jumlah keseluruhan setiap bulan, dengan 65 peratus masih lagi tidak melalui tempahan.

Menurut JPD, langkah ini bertujuan memastikan operasi bagi pemeriksaan kenderaan persendirian tujuh tahun ke atas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD, Beribi, dikendalikan secara sistematik dan teratur serta untuk memberi keselesaan kepada orang ramai, serta memberi peluang kepada orang ramai untuk menyesuaikan diri kepada perubahan ini.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah disarankan untuk terlebih dahulu membuat tempahan bagi pemeriksaan kenderaan persendirian tujuh tahun ke atas dengan menghubungi talian 2448008 atau 2448009 atau berurusan terus ke Kaunter 2, Pondok Lorong Pemeriksaan 6 dan 7, Pusat Pemeriksaan Kenderaan, JPD, Beribi.

Waktu membuat tempahan ialah dari jam 8 pagi hingga 12:00 tengah hari dan 1:45 hingga 4:15 Petang.

Di kesempatan ini, JPD memohon kerjasama serta sokongan berterusan orang ramai dalam usahanya menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang teratur demi memudah cara urusan orang ramai dengan pihak jabatan.

ARTIKEL YANG SAMA